Prostanoid untuk orang dengan arteri yang tersumbat teruk di kaki

Latar belakang

Orang dengan arteri yang tersumbat teruk di kaki mengalami sakit, ulser (kawasan yang menunjukkan kehilangan kulit yang tidak sembuh dengan mudah), atau gangren (kawasan yang menunjukkan tisu mati akibat kehilangan bekalan darah). Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan beberapa faktor risiko, seperti diabetes, merokok, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti, dan gaya hidup tidak sihat. Rawatan utama untuk orang dengan keadaan ini adalah prosedur pembedahan yang dilakukan untuk membuka sekatan pada arteri. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan, pembedahan membuka sekatan adalah tidak mungkin dan amputasi sebahagian kaki diperlukan.

Prostanoid adalah keluarga ubat-ubatan yang boleh meningkatkan bekalan darah ke kaki apabila diambil secara oral atau suntikan. Prostanoid mengembangkan dan membuka salur darah kecil dan mengurangkan aktiviti sel-sel radang dan platelet, mencegah klot darah. Kami ingin mencari manfaat dan mudarat prostanoid untuk orang yang arteri kaki tersumbat teruk yang tidak berpeluang untuk pembedahan membuka sekatan.

Soalan ulasan

Dalam ulasan ini, kami mengkaji kesan prostanoid dalam kalangan orang dengan arteri kaki tersumbat yang tidak dapat menjalani sebarang prosedur pembedahan membuka sekatan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian yang diterbitkan dan tidak diterbitkan sehingga Januari 2017. Kami mendapati 33 kajian klinikal dengan sejumlah 4477 peserta; kebanyakannya diterbitkan pada 1980-an dan 1990-an dan telah dijalankan di negara-negara Eropah. Sebelas daripada 33 kajian menerima pembiayaan daripada syarikat farmaseutikal. Kebanyakan kajian memasukkan pesakit berusia lebih 60 tahun yang mengalami sekatan arteri yang teruk; ramai juga mempunyai diabetes. Susulan biasanya kurang dari 1 tahun.

Keputusan utama

Kami mendapati apabila membandingkan plasebo, prostanoid memberi kesan manfaat yang kecil dengan mengurangkan sakit di kaki semasa berehat dan memperbaiki penyembuhan ulser. Prostanoid tidak mengurangkan kematian atau keperluan untuk amputasi. Kami mendapat tiada kajian yang menilai kualiti hidup orang dengan keadaan ini. Kami tidak mendapati bukti yang cukup untuk membandingkan kesan prostanoid terhadap ubat lain atau prostanoid lain.

Penemuan kami mencadangkan bahawa mengambil prostanoid menyebabkan bahaya. Apabila 1000 pesakit dirawat dengan prostanoid, purata 674 (572 hingga 798) akan mengalami peristiwa buruk, berbanding 319 yang diberi plasebo. Peristiwa buruk biasanya termasuk loya, muntah, cirit-birit, sakit kepala, pening, dan memerah. Peristiwa yang lebih teruk termasuk tekanan darah rendah, sakit dada, dan irama jantung yang abnormal.

Kualiti bukti

Apabila menilai kesan prostanoid untuk sakit semasa rehat, penyembuhan ulser, dan peristiwa buruk, penyelidik menyediakan bukti berkualiti sederhana; penulis ulasan menurunkan gred di dalam kebanyakan kes kerana kehilangan peserta pada susulan. Menilai kematian kardiovaskular menghasilkan bukti berkualiti rendah berkaitan dengan kehilangan peserta pada susulan dan bilangan kecil peristiwa yang dilaporkan. Kualiti bukti mengenai risiko amputasi adalah tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save