Rawatan untuk mengurus gigi kekal hadapan yang terkeluar dan ditanam semula.

Soalan ulasan

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui rawatan pengurusan gigi terkeluar dan ditanam semula yang manakah paling berkesan.

Latar belakang

Kecederaaan gigi hadapan adalah lazim. Salah satu kecederaan paling teruk terjadi apabila gigi terkeluar dari mulut (teravulsi). Kerapkali pilihan yang terbaik ialah menanam semula gigi tersebut secepat mungkin. Hal ini hanya benar untuk gigi kekal. Selepas ditanam semula, gigi tersebut boleh sembuh dengan dua cara jika diurus dengan betul. Secara idil ligamen di sekeliling akar membentuk semula dan gigi dapat bertahan seperti gigi lain, ini disebut 'penyembuhan periodontium'. Apabila terdapat terlalu banyak kerosakan ligamen, penyembuhan terjadi dengan penggantian tulang. Selang beberapa tahun, soket tulang bersebelahan akan membentuk semula gigi (mengganti akar gigi dengan tulang) menyebabkan gigi tiada akar. Setelah akar telah diganti, bahagian gigi yang jelas nampak, iaitu ‘crown’, akan akhirnya longgar dan hilang Ini dipanggil 'penyembuhan tulang'. Penyembuhan tulang menyebabkan masalah signifikan untuk jangkamasa sederhana dan rawatan untuk ini menjadi matlamat ulasan Cochrane yang lain. Kehilangan satu atau lebih gigi hadapan akibat tidak menanam semula gigi yang teravulsi atau hasil dari penyembuhan tulang jangka sederhana atau panjang, boleh memberi kesan besar kepada kesempurnaan muka dan gigi. Ia boleh mempengaruhi harga diri individu dan interaksi sosial umum, termasuk bagaimana orang lain melihat atau berfikir tentang mereka.

Ciri-ciri kajian

Penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane telah menjalankan ulasan ini dan bukti adalah terkini sehingga 8 Januari 2018. Ulasan ini menyiasat rawatan apakah yang menggalakkan pembaikan gigi secara penyembuhan periodontium. Sejumlah empat kajian dengan 183 peserta dan 257 gigi dimasukkan dalam ulasan ini. Satu kajian melibatkan kanak-kanak dan remaja, selebihnya hanya melibatkan kanak-kanak. Setiap kajian menilai pelbagai rawatan: oksigen hiperbarik, pes kanal akar (Ledermix berbanding Ultracal), pembuangan saraf gigi (ekstirpasi pulpa), dan merendam akar yang teravulsi dalam thymosin alfa 1. Setiap intervensi bertujuan mengurangkan jangkitan atau respon keradangan atau kedua-duanya, pada masa atau sejurus selepas gigi ditanam.

Keputusan utama

Bukti semasa tidak membolehkan membuat kesimpulan yang boleh dipercaya tentang keunggulan pelbagai intervensi untuk gigi terkeluar dan ditanam semula. Terdapat keperluan yang mendesak untuk kajian rawak terkawal yang direka dengan baik.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah kerana masalah reka bentuk kajian-kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save