Soalan ulasan
Adakah rawatan imunoterapi berkesan dan selamat bagi amiotrofi penyakit kencing manis?
Latar belakang
Amiotropi penyakit kencing manis, yang juga dikenali sebagai neuropati radikuloplexus lumposakral diabetik, neuropati femoral diabetik atau sindrom Bruns-Garland, adalah satu gangguan luar biasa pada saraf perifer (saraf di luar otak dan saraf tunjang) yang berlaku pada orang yang menghidapi kencing manis. Keadaan ini menyebabkan kesakitan dan kelemahan di kaki, kebanyakannya pada otot-otot pada bahagian hadapan peha. Beberapa penyelidik telah menemui bahawa saluran darah menjadi radang dan mencadangkan bahawa ini mengganggu bekalan darah ke saraf. Ubat-ubatan yang mensasarkan sel imun dapat membantu.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati hanya satu kajian yang lengkap, yang merangkumi 75 orang yang menerima methylprednisolone atau plasebo. Namun, keputusan tidak diterbitkan sepenuhnya dan tidak boleh didapati untuk penelitian yang selanjutnya. Abstrak yang diterbitkan tidak melaporkan kejadian buruk. Pada masa kini tiada bukti dari sebarang kajian untuk menunjukkan sama ada imunoterapi boleh memberi manfaat kepada orang yang mengalami keadaan ini.
Kita menantikan keputusan daripada kajian untuk menunjukkan sama ada kortikosteroid, immunoglobulin atau rawatan lain yang bertindak ke atas sistem imun yang mempunyai kesan dalam rawatan amiotropi penyakit kencing manis.
Carian adalah terkini sehingga September 2016.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.