Ujian rintangan antiretroviral pada orang dengan HIV

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada ujian rintangan dadah untuk orang yang hidup dengan HIV (memulakan terapi antiretroviral (ART) atau sudah mula ART tetapi dengan HIV yang tidak ditindas) akan mengurangkan jumlah kematian atau meningkatkan penindasan HIV.

Latar belakang

Rintangan dadah terhadap ART bererti bahawa ubat antiretroviral tertentu kurang berkesan. Ini berlaku sama ada kerana virus itu telah berubah mejadi lebih tahan, atau kerana seseorang itu dijangkiti virus yang tahan. Untuk menentukan ubat mana yang kurang berkesan, penjaga perubatan kesihatan boleh menjalankan ujian rintangan. Terdapat dua jenis ujian rintangan: ujian genotip, di mana virus diperiksa untuk menentukan ubat-ubatan yang mana ia tahan, dan ujian fenotip, di mana virus terdedah kepada ubat antiretroviral untuk melihat yang mana ia tahan. Penggunaan ujian rintangan hanya berlaku di negara berpendapatan tinggi. Sebelum kami menyiapkan ulasan ini, kami tidak tahu bagaimana penggunaan ujian rintangan dapat mengurangkan jumlah kematian dan meningkatkan penindasan HIV.

Keputusan utama

Penulis ulasan Cochrane mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang relevan sehingga 26 Januari 2018 untuk menjawab soalan ini dan merangkumi 11 kajian terkawal rawak (diterbitkan antara 1999 dan 2006) dengan jumlah 2531 orang. Ujian termasuk hanya orang yang HIV terkesan walaupun sedang mendapat ubat antiretroviral; tiada kajian yang termasuk pesakit yang memulakan terapi untuk kali pertama. Kajian dijalankan di Eropah, Amerika Syarikat, atau Amerika Selatan. Tujuh kajian menggunakan ujian genotip, dua kajian menggunakan ujian fenotip, dan dua kajian lagi menggunakan ujian fenotip dan genotip. Hanya satu kajian yang dibiayai oleh pengeluar ujian rintangan.

Pengujian rintangan mungkin membuat perbezaan sedikit atau tidak terhadap risiko kematian (bukti kepastian sederhana) atau perkembangan AIDS (bukti kepastian sederhana). Ujian rintangan mungkin meningkatkan peluang untuk berjaya menindas HIV (bukti kepastian rendah) tetapi mungkin sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kiraan sel dengan CD4 (sel-sel yang terkena HIV) (bukti kepastian sederhana). Ujian rintangan menunjukkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam bilangan orang yang mengalami kesan sampingan ubat-ubatan (bukti kepastian rendah). Tiada kajian meneliti berapa ramai orang yang mengalami jangkitan oportunis baru, dan tiada kajian yang menilai kualiti hidup pesakit.

Kesimpulan

Bagi orang-orang di mana rawatan tidak berfungsi lagi, penggunaan ujian rintangan untuk memilih rawatan baru menyebabkan penindasan virus HIV yang diukur dengan ujian darah, tetapi mungkin tidak dapat mengurangkan risiko kematian atau perkembangan AIDS. Sama ada ujian rintangan atau tidak memberi manfaat kepada pesakit yang memulakan rawatan HIV untuk pertama kalinya masih tidak menentu kerana tiada kajian telah menilai ini. Kesimpulan ini berdasarkan kajian yang dilakukan hingga 12 tahun yang lalu dan termasuk peserta yang sedikit dari negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (School of Pharmacy, Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save