Kanser serviks selalunya melibatkan wanita-wanita muda. Kanser yang berulang selepas perawatan awal (berulang) ataupun sudah tersebar ke seluruh badan semasa diagnosa (metastatik) tidak dapat diubati. Oleh sebab itu, kemoterapi bertujuan untuk meningkatkan kelangsungan nyawa, dan juga mengekalkan kualiti hidup yang baik. Pencarian kesusasteraan telah dijalankan dan telah mengenal pasti 30 kajian berpotensi; empat kajian telah dikecualikan. 26 kajian klinikal yang termasuk dalam ulasan ini merangkumi pelbagai jenis ubat, dos dan gabungan yang berlainan dalam kumpulan pesakit yang berlainan dalam tempoh yang lama (1976 hingga 2011). Hal ini menyukarkan pembandingan dalam pemilihan rawatan. Walaupun tidak ada kajian yang membandingkan kemoterapi secara langsung dengan pengurusan gejala sahaja, namun kemoterapi digunakan secara meluas dalam keadaan ini dan dianggap bermanfaat. Kemoterapi cisplatin dan carboplatin didapati mengecutkan kanser dalam kalangan 10% hingga 30% pesakit dan digunakan secara meluas dalam amalan yang terkini. Kemoterapi cisplatin apabila digabungkan dengan ubat-ubatan lain telah menunjukkan kelangsungan hidup yang lebih panjang selama beberapa bulan jika berbanding dengan kemoterapi cisplatin sahaja, tetapi dengan kesan-kesan sampingan yang lebin banyak. Kemoterapi lain telah digunakan, tetapi didapati kurang berkesan atau lebih toksik. Kualiti kehidupan bagi pesakit kemoterapi yang dirawati dengan cisplatin sahaja ataupun gabungan ubatan dengan cisplatin nampaknya serupa. Walaupun mereka berdepan dengan kanser, hampir semua pesakit dalam kajian-kajian ini agak sihat sebelum menerima rawatan; keputusan ini mungkin tidak akan sama dalam kalangan pesakit yang tidak sihat sebelum menerima rawatan.
Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi Chris_ZY@live.com