Penyampaian maklumat, latihan dan sokongan secara tidak bersemuka kepada pengasuh tidak formal pesakit dementia

Soalan ulasan

Kami berminat untuk mengetahui tentang intervensi secara tidak langsung/ jarak jauh terhadap penyampaian maklumat, latihan dan sokongan untuk pengasuh dikalangan ahli keluarga penghidap demensia. Dengan dihantar dari jarak jauh, kami maksudkan bahawa ianya disampaikan melalui telefon atau di komputer atau peranti elektronik mudah alih. Kami bertanya sama ada jenis intervensi ini membantu para pengasuh daripada tidak melakukan apa-apa, dan juga adakah intervensi yang merangkumi elemen latihan dan sokongan lebih baik daripada penyediaan maklumat yang ringkas mengenai demensia.

Latar belakang

Menjaga ahli keluarga atau rakan yang menghidap demensia boleh menjadi pengalaman yang positif, tetapi sering juga memberikan kesan negatif kepada pengasuh. Kesan negatif ini mungkin berupa emosi, fizikal, sosial dan kewangan, dan kadang-kadang digambarkan sebagai 'beban' kepada pengasuh. Banyak intervensi telah direka untuk cuba membantu pengasuh dalam tugasan penjagaan mereka. Selalunya, intervensi ini melibatkan beberapa komponen. Dalam penilaian ini kami membahagikan komponen intervensi kepada maklumat (meningkatkan pengetahuan pengasuh tentang demensia), latihan (menolong mereka mempraktikkan kemahiran penting untuk rawatan yang berkesan) dan sokongan (memberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan perasaan dengan orang lain). Kami memilih untuk menilai hanya intervensi yang dilakukan dari jarak jauh, sebahagiannya kerana kami menulis semasa pandemik COVID-19, ketika banyak negara meminta orang ramai untuk kekal berada di rumah mereka. Walau bagaimanapun, intervensi yang dilakukan dari jarak jauh mungkin juga berguna dalam pelbagai situasi lain apabila pengasuh mengalami kesukaran untuk mengakses perkhidmatan secara langsung.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari sehingga bulan April 2020 untuk kajian rawak terkawal yang menjawab soalan ulasan kami. Kami menemui 12 kajian dengan 944 peserta yang membandingkan kumpulan pengasuh yang menerima penjagaan biasa, atau beberapa maklum balas dengan penyelidik yang tidak spesifik, dengan kumpulan lain yang menerima intervensi dari jarak jauh yang melibatkan maklumat dengan latihan, sokongan atau kedua-duanya. Kami menemui 14 kajian lagi dengan 1423 peserta yang membandingkan penyediaan maklumat ringkas dengan intervensi yang lebih kompleks yang melibatkan latihan atau sokongan. Intervensi berlangsung selama lebih kurang 16 minggu. Tiga kajian dilakukan di China; yang lain dari Amerika Utara atau Eropah. Lebih kurang separuh menggunakan telefon dan lebih kurang separuh menggunakan Internet untuk menyampaikan intervensi.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Berbanding dengan perkhidmatan biasa yang disediakan untuk pengasuh di mana kajian berlangsung, atau dengan hubungan yang tidak spesifik dengan penyelidik, kami mendapati bahawa intervensi maklumat, latihan dan sokongan mungkin tidak mempunyai kesan penting terhadap beban keseluruhan, gejala kemurungan, atau kualiti hidup. Pengasuh di kedua-dua kumpulan mempunyai kemungkinan yang sama untuk keluar dari kajian dengan alasan apa pun. Berbanding dengan maklumat sahaja, intervensi yang merangkumi latihan dan sokongan dapat mengurangkan sedikit beban pengasuh, mungkin mengurangkan gejala kemurungan, mungkin sedikit atau tidak ada kesan terhadap kualiti hidup, dan mungkin menjadikan kemungkinan besar pengasuh berhenti dari kajian. Kami tidak menemui kesan yang jelas dari komponen intervensi yang berbeza, dan kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh mengenai perkara ini. Tidak ada bukti mengenai adakah intervensi tersebut meningkatkan kualiti hidup penghidap demensia yang sedang dirawat. Kami tidak menjumpai kajian yang melaporkan kesan berbahaya dari intervensi atau beban tambahan yang mungkin ditanggung dalam kehidupan pengasuh. Kami tidak tahu bagaimana intervensi akan dilakukan di negara-negara di mana hanya sedikit perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan sosial yang tersedia untuk orang yang menderita demensia dan keluarga mereka, atau dalam situasi di mana pengasuh tidak dapat mengakses perkhidmatan biasa.

Adakah keputusan ini boleh percaya?

Kami mendapati bahawa kebanyakan kajian dijalankan dengan baik, tetapi kerana kebanyakan hasilnya bersifat subjektif, ada risiko bahawa harapan para pengasuh dan penyelidik dapat mempengaruhi hasilnya. Untuk beberapa hasil, terdapat hasil yang tidak konsisten di antara kajian. Secara keseluruhan, keyakinan kami terhadap penemuan kami adalah sederhana atau rendah sehingga hasilnya dapat dipengaruhi oleh penyelidikan lebih lanjut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini boleh hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information