Menentukan kaedah optimum untuk menutup dengan selamat dasar apendiks semasa pembedahan lubang kunci selepas pembuangan apendiks radang

Latar belakang

Apendisitis adalah keradangan pada apendiks. Rawatan konvensional untuk keadaan ini melibatkan pembedahan untuk membuang apendiks, dipanggil apendektomi. Dalam tahun kebelakangan, pembedahan ini semakin meningkat sebagai pembedahan lubang kunci - apendektomi laparoskopik Untuk pembuangan apendiks semasa apendektomi laparoskopik, kaedah terbaik untuk menutup tunggul apendiks yang berbaki bagi mengelakkan kebocoran kandungan usus adalah tidak jelas. Pendekatan tradisional melibatkan ligatur dan simpulan. Walau bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan, beberapa pakar bedah telah memilih untuk menggunakan peranti mekanikal automatik berbanding ligatur, dan adalah tidak jelas sama ada peranti ini mengurangkan komplikasi semasa apendektomi laparoskopik berbanding ligatur.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari semua kajian rawak terkawal yang relevan sehingga 14 Jun 2017. rUlasan sistematik ini memasukkan lapan kajian rawak terkawal melibatkan 850 peserta. Kesemua kajian membandingkan peranti mekanikal berbanding ligatur untuk penutupan tunggul apendiks. Lima daripada lapan kajian membandingkan penggunaan klip dengan ligatur, dua kajian membandingkan pengokot automatik dengan ligatur, dan satu kajian membandingkan ketiga-tiga kaedah.

Keputusan utama

Penggunaan peranti mekanikal untuk menutup tunggul apendiks semasa apendektomi laparoskopik tidak membuat perbezaan yang ketara dalam kadar komplikasi keseluruhan apabila dibandingkan dengan penggunaan ligatur, atau dalam kadar komplikasi yang berlaku semasa atau selepas prosedur apendektomi. Walau bagaimanapun, peranti mekanikal membuat pembedahan sembilan minit lebih cepat berbanding ligatur. Peranti mekanikal tidak membuat perbezaan besar dalam tempoh keseluruhan inap di hospital. Kami tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk menilai secara pasti kos hospital, sakit, atau kualiti hidup untuk kedua-dua perbandingan ini. Hasilnya, kami tidak menemui bukti yang cukup pada masa ini untuk membolehkan kami mengesyorkan sebarang kaedah tertentu ke atas yang lain. Lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk membandingkan kaedah yang lebih baharu.

Kualiti bukti

Bukti yang diguna untuk kami membuat kesimpulan pada amnya adalah berkualiti rendah. Kajian-kajian yang kami masukkan untuk setiap analisis rentan kepada pelbagai jenis bias dan mengandungi ketakkonsistenan dan ketidaktepatan dalam keputusannya kerana bilangan kecil peserta dan kejadian dalam setiap lengan kajian yang dimasukkan. Mungkin penyelidikan masa depan akan mengubah kesimpulan kami dengan ketara; kajian lanjut dalam bidang ini diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save