Terapi cara kerja untuk gangguan kognitif pada orang yang mengalami strok

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada terapi cara kerja meningkatkan fungsi dalam aktiviti harian dan kognisi selepas strok. Kognisi ialah pemprosesan maklumat yang dijalankan oleh otak seperti berfikir, memberi perhatian kepada perkara yang anda lihat atau dengar, belajar, mengingat, dan menyelesaikan masalah. Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisa semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui 24 kajian.

Mesej utama

Bagi orang yang mengalami masalah kognisi selepas strok, terapi pekerjaan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan yang bermakna dalam keupayaan seseorang untuk melakukan aktiviti penjagaan diri, seperti mandi dan berpakaian, sejurus selepas terapi pekerjaan dan enam bulan kemudian. Terapi carakerja boleh meningkatkan kemahiran pemprosesan maklumat umum dan keupayaan mereka untuk memberi perhatian sambil melihat sesuatu, sejurus selepas intervensi. Terapi carakerja mungkin sedikit meningkatkan beberapa aspek ingatan dan keupayaan untuk berfikir secara fleksibel.

Kualiti bukti bermakna penemuan kami kebanyakannya mempunyai kepastian yang rendah atau sangat rendah. Lebih banyak kajian yang direka bentuk dengan baik yang menguji intervensi terapi carakerja untuk gangguan kognitif selepas strok adalah diperlukan.

Apakah yang dikaji ulasan ini?

Masalah dengan kognisi adalah biasa selepas strok dan boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk melakukan aktiviti penjagaan diri setiap hari seperti berpakaian, makan, dan mandi, serta aktiviti di rumah atau komuniti, seperti kerja rumah atau membeli-belah barangan runcit.

Orang yang mengalami strok boleh menerima pelbagai terapi selepas strok di hospital, pusat pemulihan, atau di rumah mereka. Terapi carakerja adalah salah satu daripada terapi ini. Ahli terapi carakerja bekerja dengan orang yang mempunyai masalah dengan kognisi selepas strok untuk membantu mereka berdikari seboleh mungkin. Mereka melakukan ini dengan mengajar orang cara untuk menyesuaikan diri atau mengimbangi masalah, atau dengan aktiviti latihan untuk meningkatkan kognisi (seperti latihan ingatan), atau gabungan ini.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Penulis ulasan menemui 24 kajian berkaitan dari 11 negara. Kajian-kajian ini membandingkan terapi carakerja dengan kumpulan kawalan yang menerima penjagaan pemulihan biasa untuk orang yang mempunyai masalah dalam kognisi selepas strok. Dalam kebanyakan kajian, intervensi terapi cara kerja melibatkan latihan menggunakan komputer yang mempunyai permainan yang direka khas untuk meningkatkan kognisi. Beberapa intervensi melibatkan latihan dalam aktiviti harian, seperti berpakaian.

Ulasan menunjukkan bahawa apabila orang yang mengalami masalah kognitif selepas strok menerima terapi carakerja, berbanding penjagaan biasa, ia mungkin:

– membuat sedikit atau tiada perbezaan bermakna dalam keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti penjagaan diri selepas menerima terapi dan sedikit perbezaan bermakna enam bulan kemudian (bukti berkepastian rendah);

– sedikit meningkatkan keupayaan keseluruhan pemprosesan maklumat mereka selepas menerima terapi (bukti berkepastian rendah);

– menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan bermakna dalam keupayaan keseluruhan mereka untuk memberi perhatian (bukti berkepastian rendah), tetapi mungkin sedikit meningkatkan keupayaan mereka untuk memberi perhatian kepada perkara yang mereka lihat, selepas menerima terapi (bukti berkepastian sederhana);

– meningkatkan sedikit ingatan kerja mereka (bukti berkepastian rendah), tetapi mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam aspek ingatan lain, selepas menerima terapi;

– meningkatkan sedikit keupayaan mereka untuk berfikir secara fleksibel selepas menerima terapi (bukti berkepastian rendah).

Buktinya sangat tidak pasti tentang kesan terapi carakerja terhadap keupayaan melakukan aktiviti di rumah dan komuniti, dan kemahiran pemprosesan maklumat 'peringkat lebih tinggi' yang menyelaras dan mengawal kemahiran kognitif lain.

Terdapat bukti yang tidak mencukupi tentang kesan ke atas keupayaan untuk melakukan aktiviti penjagaan diri tiga bulan selepas menerima terapi dan kembali ke aktiviti komuniti.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang diterbitkan sehingga September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjermah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir @Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information