Intervensi untuk mencegah hilang pendengaran akibat bunyi bising di tempat kerja

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada hilang pendengaran akibat kebisingan pekerjaan dapat dicegah. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis kajian-kajian yang relevan untuk menjawab persoalan ini. Mereka telah menjumpai 29 kajian yang mengkaji kesan langkah-laangkah pencegahan.

Mesej utama

Perundangan yang lebih ketat mungkin dapat mengurangkan paras kebisingan. Pada tahap peribadi, penggunaan palam telinga dan penyumbat telinga dapat mengurangkan pendedahan kebisingan ke paras yang selamat Walaubagimanapun, arahan penggunaan palam telinga yang betul adalah diperlukan. Tanpa arahan, palam telinga kemungkinan tidak dapat melindungi secukupnya. Memberi maklum balas kepada pekerja mengenai pendedahan kebisingan tidak mengurangkan bising. Penyelesaian kejuruteraan seperti penyelenggaraan yang lebih baik mungkin dapat mengurangkan kebisingan seperti perlindungan pendengaran. Penilaian penyelesaian kejuruteraan yang lebih baik diperlukan.

Kesan program pencegahan kehilangan pendengaran adalah tidak jelas. Penggunaan perlindungan pendengaran yang lebih baik sebagai sebahagian daripada program mungkin membantu tetapi tidak melindungi kehilangan pendengaran sepenuhnya . Pelaksanaan yang diperbaiki mungkin memberikan perlindungan lebih baik.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Berjuta pekerja terdedah kepada kebisingan yang boleh mengakibatkan kehilangan pendengaran. Para penulis ulasan berminat mengkaji kesan sebarang intervensi untuk mengurangkan kebisingan atau kehilangan pendengaran di tempat kerja, seperti penyelesaian kejuruteraan, perlindungan pendengaran atau program pencegahan kehilangan pendengaran.

Apakah keputusan ulasan ini?

Kesan pendedahan kebisingan

Penyelesaian-penyelesaian kejuruteraan

Kami mendapati satu kajian yang menunjukkan paras kebisingan turun lebih kurang 5 desibel (dB) selepas pelaksanaan perundangan yang lebih ketat dalam industri perlombongan. Walaupun banyak kajian kes menunjukkan bahawa penambahbaikan teknikal dapat mengurangkan paras kebisingan di tempat kerja sebanyak 20 dB, tiada kajian terkawal di luar makmal yang dapat menunjukkannya dengan yakin.

Perlindungan pendengaran

Dalam lapan kajian yang melibatkan 358 orang pekerja, perlindungan pendengaran mengurangkan pendedahan kebisingan sebanyak 20 dB (A). Walau bagaimanapun, dua kajian rawak menunjukkan bukti kualiti sederhana bahawa jika pekerja mendapat arahan penggunaan palam telinga yang kurang jelas, pengecilan yang diberikan adalah secara purata kurang dari 9 dB.

Maklum balas tentang pendedahan kebisingan

Dalam satu kajian, memberi maklum balas tentang pendedahan kebisingan tidak mengubah paras kebisingan dalam industri pembinaan.

Kesan kehilangan pendengaran

Kami mendapati 16 kajian dengan 81,220 peserta yang mengkaji kesan jangka panjang perlindungan pendengaran terhadap kehilangan pendengaran.

Perlindungan pendengaran

Penggunaan alat perlindungan pendengaran dalam program HLPP yang baik dikaitkan dengan kurang kehilangan pendengaran. Tiada kesan yang jelas bagi elemen-elemen lain seperti latihan pekerja, audiometri sahaja, pemantauan kebisingan, atau memberi maklum balas pendedahan kebisingan. Dua kajian melibatkan 3242 pekerja mendapati bahawa tiada perbezaan dalam kesan jangka panjang penggunaan palam telinga dan kehilangan pendengaran.

Program pencegahan kehilangan pendengaran

Empat kajian memberi bukti berkualiti sangat rendah dalam perbandingan pekerja yang tidak terdedah, HLPP tidak mengurangkan risiko kehilangan pendengaran di bawah paras sekurang-kurangnya setara dengan pekerja yang terdedah kepada 85 dB (A). Dua kajian lain menunjukkan risiko kehilangan pendengaran masih tinggi walaupun diberi HLPP. Walau bagaimanapun, satu kajian berkualiti rendah menunjukkan program yang lebih ketat dapat melindungi pekerja daripada kehilangan pendengaran.

Ketiadaan bukti muktamad tidak harus ditafsirkan sebagai bukti kurangnya keberkesanan. Sebaliknya, ini bermaksud penyelidikan lanjutan berkemungkinan mempengaruhi kesimpulan yang kami capai. Program pencegahan yang berkualiti tinggi, kualiti kajian yang lebih baik, khususnya dalam bidang kawalan kejuruteraan, dan perlaksanaan undang-undang yang lebih baik diperlukan untuk mencegah kehilangan pendengaran akibat bunyi bising.

Adakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga Oktober 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Anza Elias (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi AnzaElias@imu.edu.my.

Tools
Information