Ubat-ubatan untuk merawat sakit anggota maya dalam kalangan orang dengan kehilangan anggota

Latar belakang

Orang boleh mengalami sakit pada anggota badan yang hilang, contohnya selepas amputasi anggota. Ini dikenali sebagai sakit anggota maya. Pelbagai ubat telah dicuba sebagai rawatan untuk sakit anggota maya. Adalah tidak pasti sama ada sebarang ubat berikut berkesan: botulinum toksin A, opioid, antagonis reseptor N-methyl D-aspartate (NMDA) (contohnya ketamine, memantine, dextromethorphan), antikonvulsan, antidepresan, calcitonin, dan anestetik setempat. Adalah tidak pasti sama ada ubat-ubatan ini boleh membantu sakit, fungsi, mood, tidur, kualiti hidup, kepuasan rawatan, dan keselamatan (contohnya peristiwa buruk) dalam jangka pendek dan panjang.

Keputusan utama

Bagi kemaskini ulasan ini, kami mengulangi carian untuk kajian klinikal yang relevan pada April 2016. Kami menemui satu kajian baru, termasuk 14 kajian dengan sejumlah 269 peserta. Satu laporan awal yang kecil menunjukkan botulinum toksin A tidak mengurangkan sakit anggota maya berbanding lidokain/methylprednisolone. Morfin, gabapentin, dan ketamin memberi kelegaan sakit jangka pendek berbanding plasebo, tetapi penemuan-penemuan ini kebanyakannya berdasarkan kajian-kajian kecil. Keputusan untuk calcitonin (berbanding plasebo; berbanding ketamin) dan anestetik setempat (berbanding plasebo) adalah bervariasi. Kajian-kajian tersebut sangat berbeza, yang menyukarkan penggabungan keputusan-keputusan untuk ubat-ubatan yang berbeza. Kebanyakan kajian tidak melaporkan tidur, kemurungan atau mood, kualiti hidup, kepuasan rawatan, atau bilangan orang yang tidak melengkapkan kajian.

Oleh kerana pergantungan kepada beberapa kajian kecil, keputusan perlu ditafsir dengan berhati-hati. Tiada cukup maklumat tentang keberkesanan dan keselamatan jangka panjang. Kajian-kajian besar, berkualiti baik dengan susulan lebih panjang dan hasil yang penting bagi pesakit diperlukan. Kajian yang lebih besar dan lebih baik akan membantu kami membuat kesimpulan yang lebih kukuh tentang pelega sakit terbaik untuk pesakit-pesakit ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information