Ubat-ubatan antipsikotik untuk ketergantungan kokain

Latar belakang

Ketergantungan kokain sering dikaitkan dengan masalah perubatan, psikologi dan sosial kepada kesihatan individu dan awam serta menjanakan masalah kepada komuniti. Pengguna kokain memainkan peranan dalam penyebaran penyakit berjangkit seperti AIDS, hepatitis dan batuk kering, dan juga dalam jenayah, keganasan dan pendedahan ubat neonatal. Penggunaan ubat-ubatan seperti antidepresan, anticonvulsants dan agonis dopamin untuk merawat penyalahgunaan kokain atau ketergantungan adalah tidak disokong oleh bukti daripada ulasan Cochrane. Penggunaan agen antipsikotik juga telah dipertimbangkan, terutamanya kerana kokain boleh menyebabkan halusinasi dan paranoia yang menyerupai psikosis.

Ciri-ciri kajian

Penulis-penulis ulasan telah mengenal pasti 14 kajian rawak terkawal yang melibatkan 719 orang dewasa. Salah satu kajian telah dijalankan di Itali, malah yang lain dijalankan di Amerika Syarikat. Kajian-kajian tersebut melibatkan tetapan pesakit dalam dan pesakit luar, dan mempunyai tempoh 14 hingga 168 hari (purata 80 hari). Peserta daripada sebelas kajian rawak telah menerima ubat antipsikotik atau plasebo dengan ubat-ubatan antipsikotik berikut: risperidone (tiga kajian, 1 hingga 4 mg/hari dan satu kajian dengan suntikan jangka bertindak risperidone dengan dos 25 mg/14 hari); olanzapine (tiga kajian, 2.5 hingga 20 mg/hari); quetiapine (dua kajian, 400 dan 800 mg/hari); lamotrigine (satu kajian, 400 mg/hari); reserpine (satu kajian, 50 mg/hari). Tiga kajian telah berbandingkan dua ubat; olanzapine (10 mg/hari) berbanding haloperidol (10 mg/hari), olanzapine (20 mg/hari) berbanding risperidone (9 mg/hari) dan aripiprazol (10 ml/hari) berbanding ropirinol (4.5 mg/hari).

Keputusan utama

Kajian-kajian telah menggunakan instrumen atau cara yang berbeza untuk menilai hasil yang berkenaan, dengan itu, menghadkan kemungkinan kami untuk menggabungkan data. Semasa kami mengumpulkan semua keputusan kajian yang membandingkan ubat antipsychotic dengan plasebo, kami mendapati bahawa antipsikotik hanya meningkatkan sedikit golongan yang sedang mengikuti rawatan tetapi tidak berkesan dalam mengurangkan penggunaan kokain semasa rawatan (dua kajian), dalam tempoh menahan diri daripada penggunaan kokain (tiga kajian), atau dalam mengurangkan keinginan untuk menggunakan kokain (empat kajian). Perbandingan dengan hanya satu ubat dengan plasebo atau perbanding dengan ubat yang lain telah dijalankan dalam beberapa kajian dengan saiz sampel yang kecil. Ini telah menghadkan kebolehpercayaan keputusan yang diperolehi. Namun, antara perbandingan ini, hanya quetiapine sahaja yang dapat mengurangkan penggunaan kokain dan keinginan lebih baik daripada plasebo, tetapi keputusan hanya didapati daripada satu kajian yang melibatkan 60 peserta. Maklumat adalah terhad mengenai kebolehterimaan rawatan dari segi kesan sampingan, menahan diri daripada penggunaan kokain dan simptom putus kokain. Secara keseluruhan kami mendapati bahawa tiada bukti yang menyokong penggunaan klinikal ubat-ubatan antipsychotic dalam rawatan ketergantungan kokain.

Kualiti bukti

Batasan utama kajian-kajian ini adalah bilangan orang yang tinggi telah menarik diri dan kekurangan laporan yang jelas mengenai kaedah yang digunakan semasa menjalankan kajian. Selain itu, bilangan peserta adalah kecil, dan cara-cara yang berbeza telah digunakan untuk mengukur dan melaporkan keputusan, mengehadkan kemungkinan bagi kami untuk menggabungkan data. Secara keseluruhan kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana bagi keciciran dan rendah bagi semua hasil lain yang dipertimbangkan. Bukti ini adalah terkini sehingga 15 Julai 2015.

Pembiayaan dan konflik kepentingan yang dilaporkan oleh kajian

Majoriti kajian yang termasuk dalam ulasan ini mendapat pembiayaan daripada sumber industri atau diisytiharkan percanggahan kepentingan untuk beberapa penyelidik kerana kerjasama kontrak yang berbeza dengan industri farmaseutikal. Hanya lima daripada 14 kajian yang termasuk melaporkan bahawa mereka dibiayai secara eksklusif oleh sumber bukan industri, dan daripada jumlah itu hanya satu (Grabowski 2004) menyatakan tiada sebarang konflik kepentingan untuk penulis. Satu lagi kajian (Brown 2012) melaporkan konflik kepentingan untuk beberapa penulis dan tiga kajian (Levin 1999, Reid 2005 dan Winhusen 2007) tidak mendedahkan konflik kepentingan penulis. Satu kajian (Meini 2010) tidak melaporkan maklumat mengenai sumber pembiayaan, tetapi menyatakan bahawa tiada sebarang konflik kepentingan untuk penulis-penulis. Lapan kajian lain yang termasuk dalam ulasan ini telah dibiayai sama ada oleh industri (Brown 2010; Hamilton 2009; Kampman 2003), atau kombinasi geran industri dan bukan-industri (Akerele 2007; Loebl 2008; Smelson 2004; Smelson 2006; Tapp 2015), dengan tiga kajian(Brown 2010; Hamilton 2009; Kampman 2003) mendedahkan konflik kepentingan untuk penulis, dan selebihnya tanpa deklarasi mengenai isu ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information