Satu kajian terkawal menunjukkan beberapa bukti kesan dua intervensi untuk apraksia pertuturan kanak-kanak (CAS)

Soalan ulasan
Apakah rawatan yang boleh membantu meningkatkan pertuturan dan bahasa kanak-kanak serta remaja dengan apraksia pertuturan kanak-kanak (CAS).

Latar belakang
Kanak-kanak yang mempunyai CAS sukar untuk mengeluarkan bunyi dan suku kata secara konsisten, serta tepat untuk menuturkan perkataan dan ayat dengan jelas dan irama pertuturan yang betul. Akibatnya, kanak-kanak dengan CAS sukar difahami dengan potensi kesan negatif terhadap pencapaian sekolah dan persahabatan rakan sebaya. CAS menjejaskan lebih kurang 0.1% daripada populasi umum. Kajian ini mengumpulkan bukti penyelidikan untuk mengenal pasti terapi yang paling berkesan untuk kanak-kanak dengan CAS.

Tarikh pencarian
Bukti terkini sehingga 6 April 2017.

Ciri-ciri kajian
Kami mendapati satu kajian tentang 26 kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun yang menghidapi CAS. Kanak-kanak tersebut menghidapi CAS ringan hingga teruk tanpa sebab yang diketahui. Kanak-kanak telah diperuntukkan secara rawak (menggunakan kaedah seperti lambungan syiling) kepada salah satu daripada dua rawatan: Program Dispraxia Nuffield - Edisi Ketiga (NDP-3); dan rawatan Peralihan Suku Kata Rapid (ReST). Kedua-dua terapi disampaikan secara intensif dalam sesi satu jam, empat hari seminggu dan selama tiga minggu. Rawatan-rawatan tersebut disampaikan oleh pelajar patologi pertuturan di sebuah klinik universiti. Hasil-hasil dari kajian ini telah dinilai sebelum terapi, serta-merta selepas terapi, pada satu bulan dan empat bulan selepas terapi. Tinjauan kami melihat kepada hasil selepas terapi sebulan sahaja.

Sumber pendanaan kajian
Kajian yang dirangkumkan dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Australia; Dana Pembangunan Antarabangsa Universiti Sydney; Biasiswa Douglas & Lola Douglas mengenai Kesihatan Kanak-Kanak dan Remaja; Biasiswa Memorial Nadia Verrall; dan James Kentley Memorial Fellowship.

Hasil utama
Kajian lanjut yang mereplikasi penemuan ini akan mengukuhkan bukti yang sedia ada.

Kajian itu menyediakan bukti terhad bahawa NDP-3 boleh meningkatkan ketepatan pengeluaran pada item yang dirawat dan ketepatan pertuturan yang disambungkan. Terdapat bukti terhad bahawa NDP-3 mempunyai kesan yang boleh diabaikan pada konsistensi pengeluaran pertuturan, dan kesan yang boleh diabaikan pada ketepatan pengeluaran perkataan yang tidak dirawat pada ReST. Kajian ini tidak mengukur komunikasi berfungsi.

Kualiti bukti kajian
Kajian yang disertakan ialah percubaan terkawal rawak dengan keseluruhan risiko bias yang rendah. Kami menurunkan kualiti bukti pada satu tahap kepada sederhana, disebabkan ketidaktepatan, memandangkan hanya satu RCT yang telah dikenal pasti.

Cadangan
Terdapat bukti terhad bahawa NDP-3 atau ReST mungkin akan membantu kanak-kanak dengan CAS yang tidak diketahui asalnya, berumur 4 hingga 12 tahun, tanpa keadaan lain yang berlaku bersama. Kami tidak dapat mengetahui sama ada salah satu daripada rawatan ini lebih baik daripada yang lain, atau sama ada lebih baik daripada tiada rawatan atau rawatan seperti biasa. Pada masa ini tiada bukti tersedia untuk rawatan lain.

RCT selanjutnya - termasuk kajian membandingkan rawatan dengan kumpulan kawalan tanpa rawatan (senarai tunggu) - akan mengukuhkan asas bukti. Kajian lanjut juga diperlukan untuk kanak-kanak dengan CAS dan gangguan atau diagnosis lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information