Keberkesanan dan keselamatan trastuzumab untuk kanser payudara metastatik

Tumor yang dicirikan oleh kehadiran protein HER2 ditemui kira-kira satu dalam lima wanita dengan kanser payudara metastatik. Tumor lebih agresif dan mempengaruhi prognosis dan pilihan rawatan. Trastuzumab (Herceptin®) adalah ubat biologi tersasar (antibodi monoklonal) yang melekat pada protein HER2, menyekat pertumbuhan sel-sel malignan.

Kami sertakan tujuh kajian dengan 1497 wanita yang menghidap kanser payudara metastatik positif HER2 dalam ulasan ini. Mereka dirawak untuk menerima trastuzumab dengan atau tanpa kemoterapi (taxane, anthracycline atau capecitabine dalam empat kajian), terapi hormon (perencat aromatase termasuk letrozole atau anastrozole dalam dua kajian) atau terapi tersasar (lapatinib dalam satu kajian). Wanita yang dirawat dengan trastuzumab disusul sehingga perkembangan penyakit di dalam lima kajian dan melebihi progresi penyakit dalam dua kajian. Tempoh pemberian trastuzumab adalah antara 8.7 dan 30 bulan, dan susulan adalah purata dua tahun setelah memulakan trastuzumab.

Semua kajian mendapati trastuzumab memanjangkan masa progresi penyakit, dengan penambahan antara dua dan 11 bulan, dan dalam lima kajian, ia memanjangkan masa sehingga kematian selama antara lima hingga lapan bulan. Walau bagaimanapun, sesetengah pesakit mengalami toksisiti jantung yang teruk (kegagalan jantung kongestif) semasa rawatan. Walaupun trastuzumab mengurangkan mortaliti kanser payudara sebanyak satu per lima, risiko toksisiti jantung adalah antara tiga dan empat kali lebih mungkin berlaku. Jika 1000 wanita diberi terapi standard sahaja (tiada trastuzumab), kira-kira 300 akan terus hidup dan 10 akan mengalami toksisiti jantung. Dengan penambahan trastuzumab dalam rawatan ini, 73 orang lagi akan dipanjangkan umur mereka, dan 25 orang lagi akan mengalami toksisiti jantung yang teruk. Pengecualian lengan anthracycline-trastuzumab (yang tidak dianggap rawatan standard), 21 pesakit akan mengalami toksisiti jantung yang teruk (11 lebih banyak daripada kumpulan kemoterapi sahaja). Toksisiti jantung sering berbalik jika rawatan dihentikan serta-merta apabila masalah jantung dikesan. Wanita dengan penyakit yang lanjut mungkin memilih untuk menerima risiko ini. Secara seimbang, ulasan ini menunjukkan dengan trastuzumab, masa untuk progresi penyakit dan manfaat survival melebihi risiko bahaya jantung.

Trastuzumab tidak meningkatkan risiko toksisiti hematologi seperti demam neutropenik dan anemia; walau bagaimanapun, ia meningkatkan risiko neutropenia. Tiada cukup data tentang impak trastuzumab ke atas kualiti hidup, kematian yang berkait dengan rawatan dan metastasis otak untuk mencapai kesimpulan bagi hasil ini.

Kami menilai kualiti keseluruhan bukti sebagai sederhana, dengan kelemahan utama iaitu fakta semua kajian yang disertakan adalah label terbuka (tiada pembutaan), yang mungkin mempengaruhi penilaian hasil untuk progresi penyakit dan toksisiti, dan dua kajian belum menerbitkan hasil untuk mortaliti. Tambahan pula, perekrutan tiga daripada tujuh kajian dihentikan awal dan dalam tiga kajian tersebut, lebih 50% pesakit dalam kumpulan kawalan dibenarkan beralih ke lengan trastuzumab semasa progresi penyakit, lantas menyukarkan pemahaman manfaat sebenar trastuzumab ke atas mortaliti. Bukti untuk menyokong penggunaan trastuzumab melebihi progresi penyakit adalah terhad.

Adalah penting untuk menonjolkan, walaupun trastuzumab diguna bagi wanita dengan kanser payudara positif HER2 awal, wanita yang dienrol dalam kajian-kajian metastatik tersebut tidak pernah dirawat dengan trastuzumab. Keberkesanan trastuzumab untuk wanita yang mengalami relaps selepas trastuzumab tambahan masih diperbahaskan, walaupun ubat tersebut cenderung ditawarkan kepada majoriti wanita.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information