Apakah kaedah terbaik untuk membantu orang depresi kembali bekerja?

Apa itu depresi?

Depresi ialah masalah kesihatan mental lazim yang boleh menyebabkan perasaan sedih berterusan dan hilang minat terhadap orang, aktiviti, dan perkara yang dahulunya menyeronokkan. Seseorang yang dilanda depresi mungkin berasa hendak menangis, mudah marah, atau sering keletihan, dan mungkin bermasalah dengan tidur, penumpuan, dan memori.

Depresi boleh mempengaruhi keupayaan orang untuk bekerja. Orang dengan depresi mungkin tidak hadir bekerja (sakit), atau merasa kurang mampu untuk bekerja.

Kembali bekerja

Mengurangkan simptom depresi dapat membantu orang yang depresi untuk kembali bekerja. Rawatan termasuk ubat-ubatan dan terapi psikologi (bercakap), atau gabungan kedua-duanya. Perubahan di tempat kerja juga dapat membantu, seperti:

mengubah tugas atau waktu kerja seseorang;

menyokong mereka secara beransur untuk kembali bekerja; atau

membantu mereka menangani situasi kerja tertentu dengan lebih baik.

Mengapakah kami lakukan Ulasan Cochrane ini

Bekerja dapat memperbaik kesejahteraan fizikal dan mental seseorang; ia membantu membina keyakinan dan harga diri, membolehkan orang bersosial, dan memberikan wang. Kami ingin tahu sama ada perubahan tempat kerja dan program klinikal dapat membantu orang dengan depresi untuk kembali bekerja.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat sama ada perubahan di tempat kerja dan program klinikal mempengaruhi cuti sakit yang diambil oleh orang dengan depresi. Program klinikal merangkumi: ubat-ubatan (antidepresan); terapi psikologi; pembaikan penjagaan kesihatan oleh doktor; dan program lain seperti senaman dan diet.

Tarikh carian: Kami menyertakan bukti-bukti yang diterbitkan sehingga 4 April 2020.

Apa yang kami temui

Kami menemui 45 kajian melibatkan 12,109 orang dengan depresi. Kajian-kajian ini berlangsung di Eropah (34 kajian), Amerika Syarikat (8), Australia (2) dan Kanada (1).

Kesan 'penjagaan seperti biasa' dibandingkan dengan perubahan tempat kerja dan program klinikal untuk mengetahui:

berapa hari orang depresi mengambil cuti sakit

berapa orang dengan depresi tidak bekerja;

gejala depresi; dan

bagaimana orang yang depresi dapat menangani pekerjaan mereka.

Apakah keputusan ulasan kami?

Penemuan utama kami dalam tahun pertama susulan, untuk perubahan atau rawatan di tempat kerja berbanding rawatan biasa, disenaraikan di bawah.

Gabungan perubahan di tempat kerja dengan program klinikal:

mungkin mengurangkan bilangan hari cuti sakit (secara purata, sebanyak 25 hari bagi setiap orang dalam satu tahun; 9 kajian; 1292 peserta);

tidak mengurangkan bilangan orang yang tidak bekerja (2 kajian; 1025 peserta);

mungkin mengurangkan gejala depresi (8 kajian; 1091 peserta); dan

mungkin memperbaik keupayaan untuk menangani pekerjaan (5 kajian; 926 peserta).

Perubahan di tempat kerja sahaja:

boleh meningkatkan jumlah hari cuti sakit (2 kajian, 130 peserta);

mungkin tidak membuat lebih ramai orang tidak bekerja (1 kajian, 226 peserta);

mungkin tidak mempengaruhi gejala depresi (4 kajian; 390 peserta); dan

mungkin tidak memperbaik keupayaan untuk menangani pekerjaan (1 kajian; 48 peserta).

Pembaikan penjagaan kesihatan sahaja:

mungkin mengurangkan bilangan hari cuti sakit, sebanyak 20 hari (dalam dua kajian yang baik dalam kalangan 692 peserta, walaupun tidak dalam semua 7 kajian, melibatkan 1912 peserta);

mungkin mengurangkan gejala depresi (7 kajian; 1808 peserta); dan

mungkin mengurangkan keupayaan untuk menangani pekerjaan (1 kajian; 604 peserta).

Terapi psikologi sahaja:

mungkin mengurangkan bilangan hari cuti kerja, sebanyak 15 hari (9 kajian; 1649 peserta); dan

mungkin mengurangkan gejala depresi (8 kajian; 1255 peserta).

Kami tidak pasti jika terapi psikologi sahaja mempengaruhi kemampuan orang untuk menangani pekerjaan (1 kajian; 58 peserta).

Adakah keputusan ini boleh percaya?

Keyakinan kami terhadap keputusan ini kebanyakannya sederhana hingga rendah. Sesetengah penemuan dibuat berdasarkan bilangan kecil kajian, dalam jumlah kecil peserta. Kami juga menemui batasan yang melibatkan cara sesetengah kajian direka bentuk, dilaksanakan, dan dilaporkan.

Mesej-mesej utama

Menggabung perubahan di tempat kerja dengan program klinikal mungkin membantu orang dengan depresi untuk kembali bekerja lebih cepat dan mengambil kurang cuti sakit. Kami perlukan lebih banyak bukti untuk menilai kombinasi perubahan di tempat kerja dan program klinikal yang paling berkesan.

Penjagaan kesihatan yang lebih baik mungkin juga membantu orang depresi untuk mengambil kurang cuti sakit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information