Plat titanium berbanding plet boleh serap untuk pembedahan pembetulan rahang

Soalan ulasan

Adakah plat boleh serap (biodegradabel) lebih baik daripada plat titanium (logam) untuk fiksasi tulang muka selepas pembedahan pembetulan rahang (ortognatik)?

Latar belakang

Pertumbuhan lampau atau kurang satu atau kedua-dua tulang rahang boleh membawa kepada pengurangan fungsi dan penampilan wajah yang tidak menarik, yang mana kedua-duanya boleh menimbulkan kesan psikososial yang signifikan. Rawatan kes-kes yang teruk mungkin memerlukan kombinasi perkakasan ortodontik tetap dan pembedahan ortognatik (pembetulan rahang). Selepas pembedahan, tulang yang dipotong perlu dikemaskan untuk memastikan penyembuhan optimal berlaku. Plat titanium yang diguna untuk fiksasi dianggap sebagai 'standard emas', namun perkembangan terkini biobahan telah membawa kepada peningkatan penggunaan plat atau skru bioresorb untuk pembedahan ortognatik. Penggunaan plat bioresorb untuk fiksasi tulang muka mengurangkan keperluan pembedahan lanjutan bagi mengeluarkan plat-plat logam. Walaupun plat bioresorb menunjukkan kelebihan tertentu berbanding plat logam, masih terdapat keraguan tentang kestabilan fiksasi, tempoh masa yang diperlukan untuk serapan (diserap), kemungkinan tindakbalas bahan asing, dan beberapa kesukaran teknikal dengan plat boleh serap.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan dua kajian yang menganalisis 103 peserta. Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 20 Januari 2017. Para peserta kajian adalah orang dewasa berumur lebih dari 16 tahun. Satu kajian membandingkan skru titanium dan plat boleh serap dan kajian yang satu lagi membandingkan titanium lain dengan skru boleh serap. Satu kajian telah dijalankan di China, yang satu lagi di Jerman.

Keputusan-keputusan utama

Kedua-dua kajian berisiko bias tinggi dan menyediakan data yang sangat terhad. Kami tidak mempunyai bukti yang cukup untuk menentukan jika plat titanium atau plat boleh serap lebih baik tinggi untuk fiksasi tulang selepas pembedahan pembetulan rahang. Ulasan ini memberi bukti yang tidak cukup untuk menunjukkan sebarang perbezaan dalam sakit postoperatif dan ketidakselesaan, tahap kepuasan pesakit, pendedahan plat atau jangkitan plat dan skru fiksasi menggunakan sama ada titanium atau bahan-bahan boleh serap.

Kualiti bukti

Kedua-dua kajian yang dimasukkan dinilai sebagai berisiko bias tinggi dan bukti terhad adalah berkualiti sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save