Kortikosteroid adjunctive untuk rawatan pneumonia Pneumocystis jiroveci pada pesakit dengan jangkitan HIV

Pneumonia Pneumocystis jiroveci (PCP), yang sebelumnya dikenali sebagai pneumonia Pneumocystis carinii, adalah jangkitan oportunis yang paling biasa di kalangan pesakit yang dijangkiti HIV. Pada tahun 1990, berdasarkan bukti dari lima kajian terkawal rawak, satu panel pakar mencadangkan penggunaan kortikosteroid untuk pesakit yang dijangkiti HIV dengan PCP dan hypoxaemia yang serius (tahap oksigen rendah dalam darah).

Objektif ulasan sistematik ini adalah untuk menilai kesan kortikosteroid adjunctive (tambahan) terhadap kematian dan keperluan dalam pernafasan mekanikal pada pesakit yang dijangkiti HIV dan PCP. Kami mencari kajian yang layak sehingga April 2014. Kami melibatkan tujuh kajian dalam ulasan ini dan enam dalam analisis meta (menggabungkan data kajian).

Bilangan dan saiz kajian yang menyiasat kortikosteroid adjunctive untuk pesakit yang dijangkiti HIV bersama PCP adalah kecil (enam kajian yang terlibat dalam analisis meta terdiri daripada 242 individu dalam kumpulan intervensi dan 247 individu dalam kumpulan kawalan; kajian pada bayi terdiri daripada 47 individu dalam kumpulan intervensi dan 53 dalam kumpulan kawalan). Susulan mengikut tempoh tiga hingga 14 bulan. Bukti dari ulasan ini adalah berkualiti tinggi untuk kematian dan kualiti sederhana untuk keperluan pernafasan mekanikal dan mencadangkan kesan yang bermanfaat untuk pesakit dewasa dengan hypoxaemia yang serius. Bagi bayi (18 bulan atau lebih muda) dengan HIV dan disyaki mempunyai PCP terdapat bukti yang tidak mencukupi dalam membuktikan sama ada kesan kortikosteroid adjunctive dapat meningkatkan jangka hidup (selang keyakinan untuk anggaran kesan adalah luas, termasuk manfaat dan kemudaratan yang berkaitan dengan klinikal dan berkualiti sederhana).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my atau chanmw@rcsiucd.edu.my

Tools
Information