Rangsangan Elektrik Saraf Transkutan (TENS) untuk merawat sakit akut dalam kalangan dewasa

Latar belakang

Sakit akut adalah sakit yanb baru bermula dan tempohnya terhad. Sakit akut dikaitkan dengan pembedahan, trauma fizikal (contohnya tulang patah, terbakar dan luka) dan prosedur perubatan (contohnya venepunktur dan sigmoidoskopi). Rangsangan Elektrik Saraf Transkutan (TENS) adalah rawatan untuk melegakan sakit dengan memberi arus elektrik ringan kepada badan menggunakan pad elektrod yang dilekatkan pada permukaan kulit.

Soalan ulasan

Adakah TENS melegakan sakit akut dalam kalangan dewasa?

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 19 kajian klinikal yang diterbitkan sehingga 3 Disember 2014, yang menilai 1346 orang. Kajian-kajian tersebut memberi TENS untuk menghasilkan rasa ‘kesemutan’ yang kuat dan tidak menyakitkan di tempat sakit akut. Kajian-kajian itu menilai TENS untuk rawatan laser serviks, venepunktur, sigmoidoskopi, patah tulang rusuk dan kontraksi rahim selepas bersalin. Kami tidak menyertakan kajian-kajian yang menilai TENS untuk sakit yang berkait dengan bersalin, prosedur pergigian dan haid kerana ia telah dinilai dalam Ulasan-ulasan Cochrane yang lain. Sebelas kajian sedang menunggu pengelasan.

Keputusan utama

TENS lebih baik dari TENS plasebo (tidak memberi arus elektrik) untuk mengurangkan intensiti sakit akut tetapi pengurangan sakit tidak konsisten merentasi semua kajian-kajian. Penemuan ini adalah berdasarkan analisis hanya enam daripada 19 kajian. Bilangan pesakit tidak cukup untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Sebilangan kecil pesakit mengalami kegatalan dan kemerahan di bawah pad-pad TENS atau tidak menyukai rasa yang dihasilkan oleh TENS.

Secara keseluruhan kami menyimpulkan TENS mungkin mengurangkan intensiti sakit akut dalam sesetengah pesakit tetapi kualiti bukti adalah lemah. TENS adalah murah, selamat dan boleh diurus sendiri. Kami mengesyorkan TENS patut dipertimbangkan sebagai pilihan rawatan yang diurus sendiri atau digabung dengan rawatan-rawatan lain.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana hingga rendah kerana saiz sampel yang kecil dan sesetengah pesakit tahu mereka menerima TENS atau plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save