Latihan kecergasan untuk menyokong pemulihan bagi orang yang mengalami kecederaan otak traumatik

Latar belakang

Orang yang mengalami kecederaan otak traumatik sering mempunyai tahap kecergasan di bawah tahap kecergasan paling rendah orang dewasa yang sama umur dan jantina. Kurangnya kecergasan menyebabkan bertambah letih, yang menjadikan aktiviti harian lebih sukar dilakukan. Profesional kesihatan menggunakan latihan kecergasan untuk menangani masalah ini. Ini adalah kemas kini kepada ulasan pertama yang diterbitkan pada 2008, yang bertujuan untuk menilai sejauh mana latihan kecergasan yang berkesan memperbaiki kecergasan, hasil lain seperti kemurungan, kognisi (seperti memori, perhatian dan penyelesaian masalah) dan kembali kepada aktiviti harian.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian pada bulan Ogos 2017. Kami memasukkan lapan kajian, melibatkan 399 orang dewasa dengan kecederaan otak traumatik, dalam ulasan ini. Kebanyakan peserta kajian adalah lelaki pertengahan umur tiga puluhan yang mengalami kecederaan otak yang teruk. Kami tidak mendapati kajian yang melibatkan kanak-kanak. Program latihan kecergasan dijalankan dalam pelbagai persekitaran termasuk hospital, komuniti dan di rumah. Di dalam enam daripada lapan kajian, semua sesi latihan kecergasan diselia. Jenis latihan kecergasan adalah berbeza-beza, termasuk latihan di mesin berbasikal tetap, di dalam air, di atas peralatan gim seperti treadmil, senaman berpangkalan di rumah, dan kumpulan kecergasan dalam tentera. Dalam enam daripada lapan kajian intensiti, tempoh dan kekerapan latihan yang dipreskrib memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kolej Perubatan Sukan Amerika.

Keputusan utama

Tiga daripada lapan kajian, dengan 67 peserta, menilai perubahan kecergasan pada akhir program rawatan. Latihan dilakukan di mesin berbasikal tetap dalam dua kajian, dan di dalam air pada kajian ketiga, dan semua sesi diselia. Latihan kecergasan dibandingkan dengan intevensi bukan senaman dalam dua kajian ini, dan tiada intervensi dalam kajian ketiga. Kami menggabungkan keputusan tiga kajian ini, yang menunjukkan peningkatan (min) purata 35 watt bagi ujian senaman dalam kumpulan latihan kecergasan berbanding intervensi bukan senaman dan kumpulan tiada intervensi. Penambahbaikan ini mewakili kira-kira peningkatan 36% dalam kecergasan dari permulaan kajian, yang merupakan kesan yang besar. Walau bagaimanapun, anggaran ini adalah tidak pasti dan perbezaannya mungkin antara 3 hingga 68 watt, yang mungkin atau mungkin tidak penting secara klinikal.

Lebih dari satu kajian melaporkan enam hasil lain; komposisi badan, kekuatan, keletihan, kemurungan, kualiti hidup dan berjalan. Adalah tidak jelas sama ada latihan kecergasan adalah lebih baik atau lebih buruk daripada intervensi bukan senaman atau tiada intervensi untuk memperbaiki hasil-hasil tersebut. Ukuran kognisi, aktiviti-aktiviti kehidupan harian, dan kembali ke aktiviti harian hanya diukur dalam satu kajian, dan tiada kajian yang mengukur kesan latihan kecergasan terhadap tahap aktiviti fizikal dan motivasi. Hanya tiga kajian mengkaji kesan latihan kecergasan selepas berakhir program, tetapi ini tidak dapat memberikan jawapan yang jelas mengenai kesan jangka panjang latihan kecergasan.

Dalam lima kajian yang menyelia semua sesi latihan kecergasan, semua peserta dalam kumpulan latihan kecergasan dapat melengkapkan kajian. Kehadiran rawatan bervbeza di antara kajian, dan dilaporkan dari 59% hingga 100%, dan tidak dilaporkan dalam dua kajian. Tiada bukti mudarat akibat latihan kecergasan di dalam sebarang kajian.

Kualiti bukti

Kepastian kami dalam penemuan ini dikurangkan oleh kerana kualiti bukti yang rendah akibat bilangan peserta kajian yang kecil, kurang laporan beberapa butiran kajian, dan kemungkinan ralat dalam sesetengah kaedah kajian dijalankan.

Kesimpulan penulis

Adalah tidak jelas sama ada latihan kecergasan selepas kecederaan otak traumatik memperbaiki kecergasan fizikal. Tiada bukti yang cukup untuk memahami kesan latihan kecergasan terhadap hasil penting lain. Walaupun kehadiran latihan kecergasan dihadiri oleh ramai orang dengan kecederaan otak traumatik, terutamanya apabila diselia dan tiada bukti mudarat, kajian lanjut dengan reka bentuk lebih baik diperlukan sebelum kami dapat membuat kesimpulan pasti. Tanpa bukti berkualiti tinggi, profesional kesihatan mungkin dipandu oleh senarai semak saringan pra-senaman untuk memastikan orang dengan kecederaan otak traumatik adalah selamat untuk bersenam, dan menetapkan parameter latihan menggunakan garis panduan yang ditetapkan oleh Kolej Perubatan Sukan Amerika untuk orang yang telah mengalami kecederaan otak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save