Adakah penambahan radiasi berfokus (radiosurgeri) kepada terapi radiasi seluruh otak bermanfaat untuk orang dengan metastasis otak?

Isunya
Manfaat penambahan radiosurgeri stereotaktik (SRS), yang merupakan terapi radiasi sasaran bukan pembedahan, kepada terapi radiasi seluruh otak (WBRT), yang mana radiasi diberikan ke seluruh otak apabila tumor tidak boleh dikeluarkan melalui pembedahan, untuk orang dengan metastasis otak adalah tidak jelas.

Matlamat ulasan
Kami ingin menentukan sama ada penambahan SRS kepada WBRT adalah bermanfaat berbanding dengan WBRT sahaja bagi rawatan metastasis otak.

Apakah penemuan utama?
Kami mengenal pasti tiga kajian rawak terkawal (RCTs), yang merupakan kajian yang memperuntukkan peserta secara rawak kepada kumpulan rawatan yang berbeza, yang menyelidik sama ada penambahan radiasi berfokus (sasaran) (radiosurgeri) kepada WBRT bermanfaat untuk orang dengan metastasis otak. Keseluruhannya, peserta yang menjalani WBRT dan SRS tidak hidup lebih lama daripada peserta yang dirawat dengan WBRT sahaja. Walau bagaimanapun, peserta dengan status kefungsian tinggi untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian dan mereka yang mempunyai metastasis tunggal hidup lebih lama selepas SRS dan WBRT. Peserta yang dirawat dengan WBRT dan SRS mengalami peningkatan kawalan tempatan dan status prestasi, serta penurunan penggunaan steroid berbanding dengan peserta yang dirawat dengan WBRT sahaja.

Kualiti bukti
Kualiti bukti keseluruhan adalah sederhana berdasarkan penilaian GRADE untuk hasil yang kami berminat, dan keseluruhan risiko bias adalah tidak jelas.

Apakah kesimpulannya?
Kebanyakan kesimpulan kami adalah berdasarkan keputusan satu kajian yang besar dengan risiko bias yang tidak jelas dan oleh itu, kami membuat kenyataan yang berikut dengan berhati-hati: kami mendapati apabila radiosurgeri ditambahkan kepada WBRT, tiada bukti yang menunjukkan orang hidup lebih lama daripada jika mereka menerima WBRT sahaja, kecuali orang dengan hanya satu metastasis otak (yang mungkin hidup lebih lama jika mereka menerima rawatan kombinasi). Orang yang menerima rawatan kombinasi juga kelihatan berfungsi lebih baik dalam kehidupan seharian, tumor mereka yang dirawat dikaitkan dengan kurang peluang untuk tumbuh kembali, dan mereka mengambil lebih kurang ubat steroid. Kesan-kesan sampingan terapi kombinasi dan WBRT sahaja adalah serupa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save