Modulator asid gamma aminobutirik (GABA) untuk sklerosis lateral amiotropik atau penyakit motor neuron

Persoalan bagi ulasan

Adakah ubat yang menggalakkan kesan bahan kimia otak iaitu asid gamma aminobutirik (GABA) melambatkan perkembangan sklerosis lateral amiotropik (ALS)?

Latar belakang

ALS, yang dikenali sebagai penyakit motor neuron (MND), ialah keadaan yang mempengaruhi motor neuron dalam otak dan saraf tulang belakang. Seseorang yang menghidap ALS akan perlahan-lahan hilang daya untuk mengawal pergerakan. Dalam dua pertiga daripada pesakit ALS, keadaan ini memberi kesan pertama kepada bahagian lengan, dan diikuti dengan kesukaran berjalan. Otot kerongkong juga menjadi lemah, yang memberi kesan kepada keupayaan menelan dan bercakap. Apabila penyakit semakin berlarutan, otot menjadi semakin lemah, dengan kaku, kejang dan hilang daya untuk bergerak. Kematian biasanya berlaku dalam tempoh dua hingga lima tahun.

Glutamat ialah pengantara kimia di dalam otak yang merangsang motor neuron. Pengeluaran glutamat yang berlebihan mungkin menyebabkan kerosakan motor neuron dalam ALS. Molekul GABA bertindak untuk mengurangkan kesan sampingan glutamat. Ubat yang meningkatkan aktiviti GABA (modulator GABA) seperti gabapentin dan baclofen, merupakan antara rawatan yang mungkin untuk ALS. Ini adalah merupakan ulasan sistematik yang pertama tentang bukti daripada kajian klinikal mengenai modulator GABA untuk penyakit ALS.

Ciri-ciri kajian

Pencarian sistematik dalam penulisan perubatan menemui dua kajian rawak tentang gabapentin yang dibandingkan dengan plasebo (rawatan yang tidak aktif). Kumpulan pengkaji yang sama menjalankan kedua-dua kajian, yang ditaja oleh pengusaha. Kajian ini melibatkan sejumlah 355 pesakit ALS. Rawatan dengan gabapentin berlaku selama enam dan sembilan bulan. Kami tidak menemui kajian tentang baclofen atau modulator GABA yang lain dalam ALS yang memenuhi kriteria pemilihan kami. Kami menilai kajian gabapentin sebagai kajian yang dirancang dan dijalankan dengan baik.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Tiada kajian yang dijalankan cukup lama untuk kami melaporkan kelangsungan hidup dalam satu tahun. Gabungan keputusan daripada kedua-dua kajian (berdasarkan 274 peserta) menunjukkan bukti tinggi kualiti yang mempunyai sedikit ataupun tiada perbezaan dalam anggaran satu tahun kelangsungan hidup, kadar penurunan dalam fungsi pernafasan, atau kadar penurunan kekuatan lengan bagi pesakit yang dirawat dengan gabapentin berbanding pesakit yang dirawat dengan plasebo. Dalam satu kajian (128 peserta) kualiti hidup dan pengurangan fungsi secara bulanan telah diukur (diukur menggunakan Skala Penarafan Fungsi ALS). Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam Skala Penarafan Fungsi ALS (ALSFRS) atau kualiti hidup antara kumpulan gabapentin dan kumpulan plasebo.

Pesakit yang menerima gabapentin lebih mengalami masalah pening, mengantuk dan pembengkakan anggota tangan atau kaki berbanding kumpulan yang mengambil plasebo apabila kami menggabungkan data daripada kedua-dua kajian (353 peserta). Keletihan dan jatuh berlaku lebih kerap dengan gabapentin berbanding plasebo dalam satu kajian, tetapi apabila kami menggabungkan data tentang keletihan daripada kedua-dua kajian, tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan.

Kesimpulannya, bukti tinggi kualiti menunjukkan bahawa gabapentin tidak melanjutkan tahap kelangsungan hidup atau mengurangkan kadar penurunan kekuatan otot atau fungsi anggota pernafasan. Bukti dengan kualiti sederhana menunjukkan tiada kesan terhadap kualiti hidup atau penurunan dalam ALSFRS. Modulator GABA yang lain tidak dikaji dalam kajian rawak.

Bukti terkini sehingga Ogos 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Hajar Zuber (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information