Tampalan sewarna gigi, bukan logam: adakah lebih baik untuk pembaikan atau penggantian tampalan bukan logam yang rosak bagi orang dewasa?

Soalan ulasan

Adakah lebih berkesan untuk pembaikan atau penggantian tampalan sewarna gigi yang rosak (resin komposit) pada gigi molar di bahagian belakang mulut dalam kalangan orang dewasa?

Latar belakang

Tampalan digunakan sebagai sebahagian rawatan pergigian umum untuk membina semula gigi selepas pesakit mengalami kerosakan gigi atau kerosakan pada permukaan gigi.

Tampalan juga membantu mencegah kerosakan lanjutan terjadi (melalui kerosakan gigi di bawah tampalan atau dari impak), namun ia perlu untuk memastikan tampalan dapat melindungi bahagian asal gigi yang masih ada.

Tampalan sewarna gigi telah meningkatkan kegunaannya di kebanyakan negara sebagai alternatif kepada tampalan amalgam atau tampalan logam tradisional. Seperti sebarang bahan tampalan, tampalan ini juga mempunyai jangka hayat terhad dan akhirnya masalah akan timbul apabila ia pecah atau rosak.

Secara tradisional, tampalan yang rosak digantikan, namun pendekatan ini melibatkan kehilangan struktur gigi sambil kaviti dibersihkan dan ditampal semula.

Pendekatan alternatif adalah membaiki tampalan yang rosak. Pembaikan tampalan mungkin mengambil kurang masa, dan sesetengah pembaikan boleh dibuat tanpa menggunakan ubat kebas (anestetik setempat), pembaikan mungkin kurang distres bagi pesakit berbanding opsyen penggantian tampalan. Isu seperti sakit, resah, distres, masa dan kos menjadi pertimbangan penting bagi doktor gigi mahupun pesakit.

Ulasan ini bertujuan untuk membandingkan sama ada penggantian atau pembaikan tampalan resin komposit adalah lebih baik. Bukti untuk pembaikan atau penggantian tampalan amalgam dimuatkan dalam ulasan yang berasingan.

Ciri kajian

Ulasan kajian sedia ada dibuat oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane, dan bukti adalah terkini sehingga 24 Julai 2013.

Keputusan-keputusan utama

Tiada kajian yang didapati sesuai untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini.

Kualiti bukti

Pada masa kini tiada bukti untuk menyokong pembaikan atau penggantian tampalan resin komposit untuk orang dewasa.

Kajian lanjutan bermutu tinggi diperlukan sebelum cadangan berasaskan bukti boleh disokong.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save