Progestogen untuk merawat keguguran terancam

Apakah isunya?

Keguguran spontan berlaku dalam kira-kira 15% hingga 20% kehamilan. Keguguran terancam berlaku apabila seorang ibu mungkin akan kehilangan bayinya pada kurang dari 20 minggu gestasi. Gejala-gejala keguguran terancam adalah perdarahan faraj, dengan atau tanpa sakit abdomen, manakala serviks rahim tertutup dan bayi di dalam rahim bernyawa. Progesteron adalah hormon yang menyediakan uterus untuk implantasi telur yang telah tersenyawa dan menyekat kontraksi uterus sehingga cukup bulan. Ubat-ubatan yang menyerupai tindakan progesteron dikenali sebagai progestogen. Rawatan dengan progestogen mungkin berkesan mengurangkan kadar keguguran dalam kalangan wanita dengan keguguran terancam. Ulasan Cochrane meneliti sama ada progestogen boleh mengurangkan keguguran bagi wanita dengan keguguran terancam, dan juga memberi perhatian kepada keselamatan ubat-ubatan ini untuk ibu dan bayi.

Mengapa ini penting?

Kami berminat untuk menyiasat jika progestogen berkesan dan selamat dalam rawatan keguguran terancam, yang mungkin meningkatkan peluang wanita mengalami kehamilan yang berjaya dan kelahiran yang hidup.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Dalam ulasan literatur ini, sehingga Ogos 2017, kami mengenal pasti tujuh kajian terawak melibatkan 696 wanita yang membandingkan penggunaan progestogen dalam rawatan keguguran terancam dengan plasebo atau tanpa rawatan. Kami mendapati penggunaan progestogen mungkin mengurangkan kadar keguguran spontan dan ini disokong oleh bukti-bukti berkualiti sederhana. Lima kajian, melibatkan 588 wanita, melaporkan keberkesanan progestogen yang diberikan untuk keguguran terancam dalam mengurangkan kadar kelahiran pramasa dan menunjukkan sedikit ataupun tiada kesan, dengan bukti berkualiti rendah. Dua kajian, melibatkan 337 wanita, melaporkan kesan rawatan dengan progestogen yang diberi untuk keguguran terancam ke atas kadar kejadian keabnormalan kongenital dalam kalangan bayi baru lahir. Bukti keabnormalan kongenital tidak dapat dipastikan, kerana kualiti bukti bagi hasil ini hanya berdasarkan dua kajian kecil dengan bilangan kejadian yang sangat sedikit dan berkualiti sangat rendah.

Apakah maksudnya?

Bukti mencadangkan progesteron mungkin mengurangkan kadar keguguran spontan tetapi memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan kelahiran pramasa. Bukti keabnormalan kongenital tidak dapat dipastikan, kerana kualiti bukti bagi hasil ini hanya berdasarkan dua kajian kecil dengan bilangan kejadian yang sangat sedikit dan berkualiti sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza mastura ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save