Pembedahan untuk penyakit rotator cuff

Latar belakang

Rotator cuff adalah sekumpulan tendon yang memegang sendi bahu di tempat yang membolehkan orang mengangkat lengan dan mencapai atas kepala. Sesetengah orang mengalami kesakitan di bahu mereka yang disebabkan oleh tendon rotator cuff yang sudah haus dan lusuh. Mungkin terdapat juga radang pada tendon bahu atau bursa (bahagian bahu yang membantunya bergerak), dan tekanan pada tendon oleh tulang dari atas ketika mengangkat lengan ke atas (pelanggaran). Kerapnya, rasa sakit bertambah teruk dengan tidur atas bahu yang terkena dan penggerakkan bahu ke arah tertentu.

Pembedahan pada rotator cuff anda mungkin termasuk membuang bahagian tulang anda untuk melepaskan tekanan atas tendon rotator cuff (acromioplasty), menghilangkan bursa bengkak atau meradang (karung kecil cecair yang menutupi sendi bahu), dan mengeluarkan tisu yang rosak atau tulang untuk melebarkan ruang di mana tendon berlalu (penyahmampatan subakromial). Kini, kebanyakan pembedahan rotator cuff dilakukan secara artroskopi (penggunaan alat pembedahan yang melalui tebukan yang kecil pada kulit untuk melaksanakan pembedahan atau melalui pembelahan kecil).

Ciri-ciri kajian

Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 22 April 2018. Percubaan dilakukan di hospital di Denmark, Finland, Jerman, Norway, Sweden dan UK. Kami merangkumi lapan percubaan (1062 peserta), membandingkan pembedahan dengan pembedahan plasebo (palsu) atau rawatan lain yang bukan jenis operasi, seperti senaman pada orang yang mengalami gangguan tendon rotator cuff.

Bilangan peserta berkisar antara 42 hingga 313, usia rata-rata dari 42 hingga 65 tahun, dan jangka masa tindak lanjut dari satu tahun hingga 12 hingga 13 tahun. Lima percubaan gagal melaporkan sumber pendanaan, tiga menerima dana dari yayasan bukan komersial, dan satu penulis percubaan dibayar oleh sebuah syarikat instrumen.

Keputusan utama

Dua percubaan (506 peserta) memenuhi kriteria kami untuk dimasukkan untuk perbandingan utama kami, pembedahan berbanding dengan plasebo. Penyahmampatan subakromial menghasilkan sedikit manfaat bagi orang-orang pada tindak lanjut satu tahun.

Sakit (skor lebih rendah bermakna kurang sakit):

Bertambah baik sebanyak 3% (3% lebih teruk sehingga 8% lebih baik), atau 0.26 mata pada skala sifar hingga 10

• Orang yang menerima plasebo menilai sakit mereka sebanyak 2.9 mata

Orang yang telah dibedah menilaikan kesakitan mereka sebagai 2.6 mata

Fungsi fizikal (0 hingga 100; skor yang lebih tinggi bermakna fungsi yang lebih baik):

Pertambahan baik sebanyak 3% (1% lebih teruk sehingga 7% lebih baik), atau 3 mata pada skala sifar hingga 100

• Orang yang menerima plasebo menilai fungsi fizikal mereka sebagai 69 mata

• Orang yang menerima pembedahan menilai fungsi fizikal mereka sebagai 72 mata

Kejayaan rawatan (jauh lebih baik atau langsung tiada masalah):

Lebih 5% pesakit menilai rawatan mereka sebagai berjaya (5% kurang ke 16% lebih banyak), atau lebih lima orang daripada 100 orang

• 66 daripada 100 orang menganggap rawatan sebagai berjaya setelah menjalani prosedur plasebo

• 71 daripada 100 orang menganggap rawatan sebagai berjaya selepas menjalani pembedahan

Kualiti hidup keseluruhan (skor lebih tinggi bermakna kualiti hidup lebih baik):

Bertambah teruk sebanyak 2% (8% lebih teruk sehingga 4% lebih baik), atau 0.02 mata pada skala 0.59 hingga 1

• Orang yang menerima plasebo menilai kualiti hidup keseluruhan mereka sebagai 0.73 mata

• Orang yang menerima pembedahan menilai kualiti hidup keseluruhan mereka sebagai 0.71 mata

Kesan sampingan

1% kurang orang (4% lebih sedikit hingga 3% lebih banyak) mengalami kejadian buruk dengan pembedahan

• 4 daripada 100 orang melaporkan kejadian buruk selepas plasebo

• 3 daripada 100 orang melaporkan kejadian buruk selepas pembedahan

Kejadian buruk yang serius

Tiada kesan buruk yang serius dilaporkan dalam kajian-kajian berkenaan. Dalam kajian pemerhatian, kadar kejadian buruk yang serius adalah antara 0.5% dan 0.6%.

• 5 atau 6 orang daripada 1000 orang melaporkan kejadian buruk selepas pembedahan

Kepastian bukti

Pada orang dengan gangguan bahu yang menyakitkan, bukti kepastian tinggi menunjukkan bahawa pembedahan penyahmampatan subakromial tidak mengurangkan kesakitan, meningkatkan fungsi atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan berbanding dengan pembedahan plasebo, dan bukti kepastian sederhana (diturunkan kerana ketidaktepatan), tidak menunjukkan peningkatan dalam bilangan orang yang melaporkan kejayaan rawatan. Kami tidak pasti sama ada pembedahan dikaitkan dengan lebih banyak kejadian buruk berbanding dengan tiada pembedahan.

Kesan sampingan yang serius termasuk jangkitan mendalam, embolisme paru-paru, kecederaan saraf, dan kematian boleh berlaku selepas pembedahan bahu. Walaupun anggaran yang tepat tidak diketahui, risiko kejadian buruk serius mungkin kurang dari 1% (bukti kepastian sederhana, diturunkan kerana ketidaktepatan).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Saw Le Er (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save