Peningkatan garam dalam larutan untuk mengekalkan cecair semasa pembedahan

Soalan ulasan

Adakah larutan yang mengandungi lebih banyak garam daripada yang biasa digunakan selamat semasa pembedahan?

Latar belakang

Individu biasanya memerlukan cecair semasa pembedahan. Kadangkala sejumlah besar cecair diberikan untuk mengekalkan jumlah darah yang mencukupi, tetapi jumlah ini mungkin menyebabkan individu mempunyai terlalu banyak cecair. Cecair yang biasanya digunakan semasa pembedahan mempunyai keseimbangan garam yang serupa dengan yang terdapat dalam darah, dan dipanggil isotonik. Larutan garam hipertonik (HS) mempunyai kepekatan sodium yang lebih tinggi daripada larutan garam isotonik (IS). HS mungkin memberi manfaat kepada individu yang menjalani pembedahan dengan mengurangkan jumlah isipadu cecair yang diperlukan.

Tarikh pencarian

Bukti adalah terkini sehingga 8 April 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 18 kajian yang membandingkan HS dengan IS pada individu yang menjalani pembedahan. Kajian memasukkan 1087 peserta. Lima ratus empat puluh lima (545) peserta menerima HS dan 542 menerima IS semasa pembedahan mereka. Para peserta diagihkan secara rawak kepada kumpulan mereka. Kajian ini dijalankan di 11 negara. Peserta kajian berumur lebih dari 18 tahun. Semua kajian mengecualikan individu yang mempunyai risiko kesihatan yang serius daripada mengambil bahagian. Semua kajian memantau tahap cecair semasa pembedahan dan sehingga tiga hari selepas itu.

Keputusan utama

Terdapat tujuh kematian secara keseluruhan, tiga (kurang daripada 1%) daripada kumpulan IS dan empat (kurang daripada 1%) daripada kumpulan HS. Risiko kematian adalah sangat rendah dalam kajian ini. Kajian tidak melaporkan berlakunya kejadian buruk yang serius.

Tiga belas kajian melaporkan jumlah cecair yang diberikan. Kumpulan IS menerima purata 2.4 L dan kumpulan HS menerima 0.91 L kurang dari itu (1.49 L). Jumlah sodium tertinggi dalam darah sepanjang kajian itu dilaporkan oleh 16 kajian. Kumpulan IS mempunyai median 139 meq/L dan kumpulan HS adalah 7.73 meq/L lebih tinggi. Julat biasa yang boleh diterima ialah 136 hingga 146 meq/L.

Kualiti bukti

Bagi kematian dan kejadian buruk, kajian tidak mempunyai saiz dan tempoh yang mencukupi untuk menilai perbezaan dengan secukupnya. Kami menilai kualiti bukti untuk kematian adalah sangat rendah, dan kajian masa depan mungkin mengubah keputusan yang dilaporkan di sini.

Pelaporan jumlah tertinggi sodium adalah berkualiti sederhana. Pengukuran sodium darah semasa pembedahan adalah ukuran biasa yang tidak mungkin disalahertikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information