Senaman akuatik untuk orang dengan osteoartritis di lutut atau pinggul

Soalan ulasan

Apakah kesan intervensi senaman akuatik terhadap rawatan orang dengan osteoartritis (OA) lutut dan pinggul?

Latar belakang: Apakah osteoartritis lutut dan pinggul, dan apakah senaman akuatik?

Osteoartritis adalah penyakit kronik yang melibatkan sakit sendi, kenyerian dan pergerakan yang terbatas. Pada masa ini masih tiada terdapat penawar. Oleh itu, penyakit ini hanya boleh dirawat untuk simptom dan untuk menghalang perkembangannya. Senaman akuatik adalah senaman fizikal yang dilakukan oleh peserta semasa terendam di dalam air yang biasanya bersuhu antara 32°C hingga 36°C. Ini adalah kemaskini ulasan Cochrane yang telah diterbitkan, dan menyampaikan keputusan daripada kajian tentang kesan senaman akuatik dalam rawatan orang dengan osteoartritis lutut dan pinggul.

Ciri-ciri kajian

Dalam ringkasan sorotan Cochrane ini, kami mengemukakan apa yang telah diketahui daripada kajian tentang kesan senaman akuatik bagi orang dengan osteoartritis lutut dan pinggul. Setelah mencari semua kajian yang relevan sehingga 28 April 2015, kami telah memasukkan sembilan kajian baru sejak versi terakhir ulasan Cochrane tersebut. Secara keseluruhan kami telah memasukkan 13 kajian (1190 peserta). Kebanyakkan kajian-kajian ini melibatkan peserta dengan simptom osteoartritis lutut atau pinggul yang ringan hingga sederhana.

Keputusan utama

Senaman akuatik untuk sekumpulan campuran orang dengan osteoartritis lutut dan orang dengan osteoartritis pinggul mungkin boleh melegakan kesakitan, mengurangkan sedikit ketidakupayaan, dan mungkin boleh meningkatkan sedikit kualiti hidup sejurus selepas melengkapi satu siri rawatan (sehingga 12 minggu senaman akuatik). Ulasan kemaskini ini tidak mengubah kesimpulan daripada ulasan Cochrane yang telah diterbitkan sebelum ini.

Kesakitan (skor rendah adalah lebih baik)

Orang yang telah menyempurnakan program senaman akuatik menilai kesakitan mereka lima mata lebih rendah (3-8 mata lebih rendah) pada skala 0 hingga 100 pada akhir senaman akuatik berbanding dengan orang yang tidak menerima senaman akuatik (5% pembaikan mutlak)

Orang yang telah menyempurnakan program senaman menilai kesakitan mereka sebagai 41 mata pada skala 0 hingga 100

Orang dalam kumpulan kawalan menilai kesakitan mereka sebagai 46 mata pada skala 0 hingga 100.

Ketakupayaan (skor rendah adalah lebih baik)

Orang yang telah menyempurnakan program senaman akuatik menilai ketakupayaan mereka lima mata lebih rendah (3-8 mata lebih rendah) pada skala 0 hingga 100 pada akhir senaman akuatik berbanding dengan orang yang tidak menerima senaman akuatik (5% pembaikan mutlak)

Orang yang telah menyempurnakan program senaman menilai ketakupayaan mereka sebagai 39 mata pada skala 0 hingga 100

Orang dalam kumpulan kawalan menilai ketakupayaan mereka sebagai 44 mata pada skala 0 hingga 100.

Kualiti hidup [skor tinggi adalah lebih baik]

Orang yang telah menyempurnakan program senaman akuatik menilai kualiti hidup mereka tujuh mata lebih tinggi (0-13 mata lebih tinggi) pada skala 0 hingga 100 pada akhir senaman akuatik berbanding dengan orang yang tidak menerima senaman akuatik (13% pembaikan mutlak)

Orang yang telah menyempurnakan program senaman menilai kualiti hidup mereka sebagai 57 mata pada skala 0 hingga 100

Orang dalam kumpulan kawalan menilai kualiti hidup mereka sebagai 50 mata pada skala 0 hingga 100.

Gambar x-ray sendi - Tidak diukur oleh mana-mana kajian

Penarikan diri daripada kajian

3 lagi orang daripada 100 tercicir daripada program senaman akuatik (peningkatan mutlak 3%)

18 orang daripada 100 dalam kumpulan senaman akuatik tercicir daripada program senaman

15 orang daripada 100 tercicir daripada kumpulan kawalan

Kesan buruk yang serius

Tiada kesan sampingan yang serius telah dilaporkan berhubung dengan senaman akuatik

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang sederhana menunjukkan bahawa dalam kalangan orang dengan osteoartritis lutut dan pinggul, senaman akuatik boleh mengurangkan kesakitan dan hilang upaya, dan meningkatkan kualiti hidup serta-merta selepas akhir program rawatan. Kajian lanjut mungkin boleh mengubah keputusan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch'ng Chin Chin (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Pulau Pinang).Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi chngchinchin@gmail.com.

Tools
Information