Bahan penjauh nyamuk elektronik untuk mencegah gigitan nyamuk dan jangkitan malaria

Melalui sistem perintis, kami telah mengelaskan ulasan ini sebagai "persoalan semasa - kemaskini tidak diperlukan: kajian lebih mendalam besar kemungkinan tidak akan mengubah kesimpulan" (rujuk nota terbitan).

Malaria adalah satu masalah kesihatan besar yang menular dalam kalangan penduduk Afrika sub-Sahara dan kawasan-kawasan tropika dunia yang lain. Penyakit ini kerap mengakibatkan morbiditi dan mortaliti yang amat sangat, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun. Malaria disebarkan melalui gigitan nyamuk betina yang telah dijangkiti. Terdapat pelbagai strategi dan pendekatan untuk mencegah gigitan nyamuk serta jangkitan malaria, termasuklah bahan penjauh nyamuk. Pendekatan-pendekatan ini boleh dipertimbangkan pengunaannya oleh orang yang menetap di kawasan-kawasan terbabit dan pelawat ke kawasan-kawasan di mana risiko jangkitan adalah tinggi. Bahan penjauh nyamuk elektronik (PNE) berfungsi menghalau nyamuk betina melalui bunyi berfrekuensi tinggi yang hampir tidak dapat didengar oleh telinga manusia. Pengilang-pengilang PNE mendakwa bahawa alat ini berkesan untuk menghalau nyamuk dan mencegah penyakit. Tiada kajian rawak terkawal ditemui, tetapi penilaian telah dibuat untuk 10 kajian lapangan mengenai bilangan nyamuk yang ditangkap di atas bahagian-bahagian tubuh manusia yang tidak ditutupi pakaian. Kajian-kajian ini telah dijalankan di tempat-tempat berlainan di dunia dan melibatkan pelbagai spesies nyamuk. Faktor-faktor yang dikawal termasuklah lokasi setempat dan waktu pelaksanaan kajian. Salah satu kajian cuma mempunyai seorang pemerhati dan tujuh pemerhatian, manakala penilaian terbesar melibatkan 18 pemerhati dan 324 pemerhatian. Tiada bukti dalam kajian-kajian berkenaan yang menyokong keberkesanan PNE. Oleh yang demikian, tidak terdapat bukti untuk menyokong promosi dan pengunaan PNE. Kajian rawak terkawal baru tidak disyorkan kerana kajian-kajian lapangan tadi tidak mencadangkan bahawa PNE mempunyai sebarang keupayaan untuk mecegah malaria.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College) Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information