Rawatan perencat pam proton dimulakan sebelum endoskopi bagi pendarahan gastrousus atas

Latar belakang

Pendarahan dari esofagus (saluran yang menghubungkan tekak ke perut), perut atau duodenum (bahagian pertama usus kecil) adalah kecemasan perubatan biasa. Penyelidikan telah mencadangkan bahawa mengurangkan jumlah asid dalam perut boleh membantu mengawal pendarahan, tetapi tidak diketahui sama ada ia berfaedah untuk memulakan rawatan sedemikian lebih awal; iaitu sebelum endoskopi (pemeriksaan esofagus, perut dan duodenum dengan kamera gentian optik).

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti tentang kesan satu jenis ubat anti-asid (inhibitor pam proton) berbanding dengan tiada rawatan (plasebo) atau jenis ubat anti-asid lain (antagonis reseptor histamin-2) yang bermula sebelum endoskopi pada orang dengan pendarahan gastrousus atas.

Ciri-ciri kajian

Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2021. Kami menyertakan enam kajian yang melibatkan 2223 peserta. Semua kajian dijalankan dalam persekitaran hospital, dan memasukkan peserta dengan tanda-tanda klinikal pendarahan gastrousus atas.

Kajian-kajian ini melaporkan data untuk hasil berikut: kematian (5 kajian, 2143 peserta); berulangnya pendarahan gastrousus atas (5 kajian, 2121 peserta); pembedahan (6 kajian, 2223 peserta); kadar peserta dengan pendarahan aktif atau tanda-tanda pendarahan serius baru-baru ini pada endoskopi pertama (4 kajian, 1332 peserta); dan keperluan untuk terapi endoskopik (seperti suntikan ubat atau kauterisasi saluran darah) untuk pendarahan (3 kajian, 1983 peserta). Satu kajian melaporkan data untuk masa pelepasan, dan dua kajian melaporkan data untuk keperluan transfusi darah.

Keputusan utama

Adalah tidak pasti sama ada rawatan dengan perencat pam proton sebelum endoskopi memberi kesan pada risiko kematian, pendarahan berulang, keperluan untuk pembedahan, kadar peserta dengan penemuan pendarahan serius yang aktif atau terbaru pada endoskopi pertama, masa untuk pelepasan atau keperluan transfusi darah. Walau bagaimanapun, rawatan dengan perencat pam proton sebelum endoskopi mungkin mengurangkan keperluan untuk rawatan endoskopik pendarahan.

Kepastian bukti

Kepastian (kualiti) bukti adalah rendah hingga sederhana, disebabkan terutamanya oleh batasan dalam reka bentuk dan pelaksanaan beberapa kajian, dan ketidakupayaan untuk mendapatkan anggaran kesan yang tepat (disebabkan oleh bilangan peserta dan peristiwa yang tidak mencukupi dalam kajian yang disertakan).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information