Intervensi untuk mencegah tromboemboli vena dalam kalangan orang dewasa yang menjalani artroskopi lutut

Latar belakang

Artroskopi lutut (KA) digunakan untuk rawatan pelbagai jenis kecederaan lutut. Pesakit mungkin mendapat manfaat melalui intervensi ini tetapi ada juga risiko kecil yang mereka akan mengalami tromboemboli vena. Tromboemboli vena berlaku apabila darah beku terbentuk di urat kaki yang dalam. Pesakit mungkin mengalami gejala-gejala seperti sakit betis, bengkak (disebut trombosis vena dalam simtomatik, atau DVT), dan ada risiko yang darah beku ini boleh merebak ke paru-paru mereka (disebut embolisme pulmonari, atau PE).

Ulasan sistematik ini merangkumi ujian klinikal yang menilai penggunaan ubat-ubatan yang perlu diambil oleh pesakit selepas KA. Ubat-ubatan ini membantu mencegah pembekuan darah dengan menipiskan darah.

Ulasan ini adalah kemas kini bagi laporan yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 2007. Pencarian untuk kemas kini ini dilakukan pada 14 Ogos 2019.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Data dari lima ujian klinikal menunjukkan bahawa penggunaan heparin dengan berat molekul rendah (LMWH), iaitu ubat yang disuntik oleh pesakit setiap hari ke dalam abdomen mereka, tidak mengurangkan risiko PE atau DVT simtomatik secara jelas. Penggunaan LWMH dapat mengurangkan risiko DVT asimtomatik. Penggunaan LMWH tidak memberi kesan yang jelas pada pembengkakan atau pendarahan.

Dalam satu kajian, penggunaan rivaroxaban oral tidak mengurangkan risiko PE atau DVT, dan juga tidak meningkatkan pendarahan apabila dibandingkan dengan plasebo. Satu kajian yang membandingkan aspirin dengan kawalan melaporkan tiada PE atau DVT. Penggunaan LMWH berbanding stokin mampatan tidak mengurangkan PE tetapi telah mengurangkan DVT. Terdapat DVT yang lebih tinggi dari yang dijangkakan bagi kumpulan yang memakai stokin mampatan.

Terdapat risiko kecil bahawa pesakit dewasa yang sihat yang menjalani KA akan mengalami tromboembolisme vena (PE atau DVT). Terdapat bukti yang tidak pasti bahawa penggunaan LMWH, aspirin atau rivaroxaban bermanfaat untuk mengurangkan risiko kecil PE atau DVT simtomatik ini.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah berbeza antara intervensi dan hasil. Kami menurunkan kepastian bukti untuk PE dan DVT simtomatik dari tahap tinggi ke tahap sederhana kerana hasil kajian tidak tepat dan kerana jumlah kes adalah kecil. Kami menurunkan kepastian bukti untuk pembekuan asimtomatik kepada sangat rendah kerana risiko berat sebelah dalam ujian klinikal, kerana para peserta tahu tentang rawatan yang mereka terima. Ini mungkin mempengaruhi kakitangan perubatan yang mencari bekuan tanpa gejala. Kami juga menurunkan kepastian bukti untuk ketidaklangsungan, kerana terdapat ketidakpastian mengenai relevansi DVT asimtomatik dalam konteks KA.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save