Adakah sarung kembung dan ubat efektif untuk mencegah trombosis vena dalam dan embolisme pulmonari selepas pembedahan?

Mesej utama

• Gabungan penggunaan sarung kembung yang dipakai pada kaki (pemampatan kaki pneumatik berselang) serta ubat boleh mengurangkan kadar kes baru pembekuan darah di paru-paru dan kaki berbanding sarung kembung sahaja.

• Gabungan penggunaan sarung kembung dan ubat boleh mengurangkan kadar kes pembekuan darah baru di kaki dan mungkin mengurangkan pembekuan darah baru di paru-paru berbanding penggunaan ubat sahaja.

• Penambahan ubat pada sarung kembung, boleh meningkatkan risiko pendarahan berbanding dengan kembung sahaja.

Mengapakah persoalan ini penting?

Trombosis vena dalam (deep vein thrombosis, DVT) dan embolisme pulmonari (pulmonary embolism) secara kolektif dikenali sebagai tromboembolisme vena, dan berlaku apabila bekuan darah berkembang di dalam urat kaki dan bergerak ke paru-paru. Ia adalah komplikasi yang mungkin berlaku pada pasakit yang tinggal di hospital selepas pembedahan, trauma atau mempunyai faktor-faktor risiko lain. Komplikasi ini memanjangkan tempoh tinggal di hospital dan dikaitkan dengan kehilangan upaya jangka panjang dan kematian. Pesakit yang menjalani pembedahan penggantian pinggul atau lutut total (ortopedik) atau pembedahan untuk kanser kolorektal berisiko tinggi mendapat tromboembolisme vena. Aliran darah yang lembap, peningkatan pembekuan darah dan kecederaan dinding saluran darah adalah faktor-faktor yang menyebabkan pesakit mengalami pembekuan darah. Merawat lebih daripada satu faktor ini boleh meningkatkan pencegahan. Pemampatan kaki pneumatik berselang mekanikal melibatkan pembalut kaki dengan sarung kembung atau menggunakan pam kaki. Ia memberi tekanan lembut pada kaki dan uratnya, mengurangkan aliran darah yang lembap, manakala ubat-ubatan seperti aspirin dan antikoagulan mengurangkan pembekuan darah. Ubat-ubatan ini dikenali sebagai profilaksis farmakologi (ubat yang digunakan untuk mencegah darah beku). Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini juga boleh meningkatkan risiko pendarahan. Kami ingin mengetahui sama ada pengggabungan pemampatan dan ubat untuk menghentikan pembekuan darah adalah lebih efektif daripada sama ada pemampatan atau ubat sahaja.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan gabungan pemampatan dan ubat terhadap sama ada pemampatan atau ubat sahaja. Kami menjumpai 34 kajian yang melibatkan seramai 14,931 peserta. Purata umur peserta, di mana dilaporkan, ialah 62.7 tahun. Kebanyakan peserta telah menjalani prosedur atau mempunyai keadaan berisiko tinggi (pembedahan ortopedik dalam 14 kajian dan urologi, kardiotoraks, pembedahan saraf, trauma, pembedahan am, ginekologi atau jenis peserta lain dalam kajian yang lain).

Berbanding dengan pemampatan sahaja, gabungan pemampatan dengan ubat adalah lebih baik dalam mengurangkan kadar kes baru embolisme pulmonari (19 kajian, 5462 peserta). Gabungan pemampatan dengan ubat juga mengurangkan DVT jika dibandingkan dengan pemampatan sahaja (18 kajian, 5394 peserta). Namun, penambahan ubat meningkatkan risiko sebarang pendarahan berbanding pemampatan kaki pneumatik berselang sahaja, daripada 1% kepada 5.9%. Pendarahan utama juga mengikuti corak yang sama, dengan peningkatan daripada 0.3% kepada 2.2%. Analisis lanjut melihat pelbagai jenis peserta (peserta ortopedik dan bukan ortopedik) menunjukkan risiko yang sama terhadap DVT. Penilaian perbezaan antara subkumpulan untuk embolisme pulmonari tidak dapat dijalankan.

Berbanding dengan ubat sahaja, gabungan pemampatan dan ubat adalah lebih baik dengan mengurangkan embolisme pulmonari (15 kajian dengan 6737 peserta). DVT juga dikurangkan dalam kumpulan gabungan pemampatan dan ubat (17 kajian dengan 6151 peserta). Tiada perbezaan diperhatikan dalam kadar pendarahan (enam kajian dengan 1314 peserta). Analisis lanjut melihat subkumpulan peserta yang berbeza tidak menunjukkan sebarang perbezaan keseluruhan dalam kejadian embolisme pulmonari atau DVT antara peserta ortopedik dan bukan ortopedik.

Berapa yakinkah kami terhadap bukti ini?

Kami mendapati keyakinan kami terhadap bukti adalah dari tinggi hingga sangat rendah. Kami mempunyai kebimbangan tentang cara kajian dijalankan, kerana hanya terdapat jumlah pembekuan darah yang kecil secara keseluruhan dan definisi berbeza digunakan untuk pendarahan antara kajian.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini hingga Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information