Penggunaan antibiotik bagi kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah yang mengidap bronkiolitis

Soalan

Kami menilai bukti-bukti kesan penggunaan antibiotik terhadap hasil klinikal pada kanak-kanak yang mengalami bronkiolitis.

Latar belakang

Bronkiolitis ialah sejenis penyakit pernafasan serius yang menjangkiti bayi. Ia paling kerap disebabkan oleh virus 'respiratory pernafasan syncytial' (RSV) dan menjadi penyebab utama bagi bayi yang berusia kurang dari enam bulan untuk dimasukkan ke hospital. Bayi biasanya akan mengalami hidung berair, batuk, sesak nafas dan tanda-tanda kesukaran bernafas, yang boleh mengancam nyawa. Walaupun ia disebabkan oleh virus, ubat antibiotik kerap diberikan. Perawat mungkin mengharapkan faedah daripada kesan anti-keradangan yang ada pada sesetengah antibiotik, atau mengambil kira kemungkinan akan terjadi jangkitan bakteria susulan daripada ini, khususnya di kalangan kanak-kanak yang sangat tidak sihat dan memerlukan rawatan rapi. Kami ingin mengetahui adakah penggunaan antibiotik akan memberi kesan yang baik atau sebaliknya pada kesihatan kanak kanak yang mengidap bronkiolitis.

Ciri-ciri kajian

Bukti-bukti ini adalah dari Jun 2014 hingga kini. Kami mengenal pasti tujuh kajian (824 peserta) yang membandingkan penggunaan antibiotik dengan plasebo atau tanpa antibiotik kepada kanak-kanak yang mengidap bronkiolitis. Dua daripada kajian-kajian ini juga membandingkan antibiotik yang diberikan secara intravena dengan secara oral.

Keputusan utama

Hasil utama kami ialah tempoh gejala-gejala/tanda (tempoh keperluan penggunaan oksigen, ketepuan oksigen dalam darah, pernafasan berbunyi, 'crepitation' dan demam). Hasil yang lain merangkumi tempoh rawatan di hospital/masa untuk dibenarkan keluar dari hospital, kemasukan semula ke hospital, komplikasi/kesan tidak diingini (termasuk kematian), penemuan radiologi (sinar X).

Kami memasukkan tujuh kajian dengan jumlah 824 peserta. Empat kajian melaporkan tempoh keperluan penggunaan oksigen dan ia tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan pada tempoh penggunaan oksigen antara pesakit yang diberikan antibiotik dengan plasebo. Kami mengabungkan tiga kajian yang membandingkan azithromycin dengan plasebo dan sekali lagi ia tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan antara antibiotik dan plasebo dari segi tempoh keperluan oksigen. Kebanyakan kajian tidak melaporkan hasil tinjauan utama iaitu pernafasan berbunyi , 'crepitation' dan demam. Satu kajian yang terdapat bias yang tinggi mendapati hasil yang bercampur bagi kesan antibiotik ke atas pernafasan berbunyi tetapi tiada perbezaan untuk ukuran gejala lain. Satu kajian mendapati tiada perbezaan untuk tempoh demam dan satu kajian mendapati tiada perbezaan bagi demam pada hari kedua.

Mengenai hasil yang lain, enam kajian yang dimasukkan tidak dapat menunjukkan sebarang perbezaan dari segi tempoh masa sakit atau tempoh dimasukkan ke hospital antara pesakit yang diberikan antibiotik atau plasebo. Untuk tempoh perawatan di hospital, kami gabungkan data dari tiga kajian yang membandingkan penggunaan azithromycin berbanding plasebo sebagai satu komponen daripada keseluruhan analisis kesan antibiotik ke atas tempoh perawatan di hospital. Hasil gabungan keputusan tersebut juga menunjukkan tiada perbezaan antara antibiotik (azithromycin) atau plasebo. Satu kajian kecil yang mempunyai bias yang tinggi mendapati bahawa penggunaan clarithromycin selama tiga minggu dengan signifikannya mengurangkan kadar kemasukan semula ke hospital berbanding dengan plasebo. Walau bagaimanapun, pengurangan kadar kemasukan semula ke hospital ini tidak dapat ditunjukkan semula dalam kajian terbaru yang melibatkan 97 kanak-kanak yang dipilih secara rawak sama ada menerima satu dos besar sahaja azithromycin atau plasebo. Tiada kematian dilaporkan dalam mana-mana kumpulan daripada tujuh kajian yang dinilai dan tiada kajian yang secara khususnya melaporkan kesan sampingan antibiotik. Hanya dua kajian memberi komen umum yang tiada kesan buruk ditemui dengan penggunaan antibiotik. Penemuan radiologi tidak dilaporkan sebagai hasil dalam mana-mana kajian yang dinilai.

Kualiti bukti

Kajian terkemaskini tahun 2014 ini adalah lebih kuat, disebabkan oleh kemasukan dua ujian rawak terkawal (RCTs) yang baharu. Dua kajian yang digabungkan ini melibatkan lebih 138 peserta dalam kumpulan antibiotik dan 143 peserta dalam kumpulan plasebo. Sebelum ini hanya tiga RCTs kecil telah mengkaji penggunaan antibiotik berbanding plasebo, dengan hanya 72 orang peserta dalam kumpulan antibiotik dan 72 orang peserta dalam kumpulan plasebo. Oleh yang demikian, kajian ini telah memberikan sumbangan yang besar, terutamanya dari segi peranan antibiotik dari jenis macrolides, seperti azithromycin, dalam merawat penyakit bronkiolitis. Tiada data baru yang tidak diterbitkan dimasukkan dalam ulasan terkini. Walau bagaimanapun, penulis kajian ini tiada sebab untuk mengesyaki bahawa strategi pencarian telah mempengaruhi keputusan kajian. Data asal tidak boleh diambil daripada satu kajian yang dijalankan 40 tahun yang lalu, juga daripada tiga ujian lain, yang melemahkan kajian ini. Penulis tiga kajian tersebut tidak menyediakan data asal untuk dimasukkan ke dalam kajian ini.

Kesimpulan

Kajian ini tidak menemukan bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan antibiotik bagi merawat bronkiolitis. Penyelidikan untuk mengenal pasti kumpulan kecil pesakit yang boleh mendapat manfaat daripada penggunaan antibiotik adalah disokong.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi irfankb@usm.my

Tools
Information