Rawatan untuk amblyopia disebabkan oleh penglihatan yang terhalang

Apakah tujuan ulasan ini?
Kami meneliti bukti yang ada mengenai rawatan penghalang untuk amblyopia kekurangan stimulus (SDA) berkaitan dengan penglihatan pada akhir rawatan.

Mesej utama
Terdapat kekurangan bukti dari kajian terkawal secara rawak (kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada satu kumpulan rawatan atau yang lain) mengenai kesan rawatan penghalang untuk SDA.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Amblyopia atau 'mata malas' berlaku apabila penglihatan tidak berkembang secara normal pada zaman awal kanak-kanak. SDA adalah sejenis amblyopia yang berlaku kerana penyumbatan penglihatan di mata (contohnya, disebabkan oleh lensa yang keruh atau kelopak mata yang kuyu). Doktor mata menganggap amblyopia jenis ini adalah yang paling sukar untuk dirawat. Walaupun kira-kira 1% hingga 5% orang mempunyai beberapa jenis amblyopia, SDA lebih jarang berlaku, menjejaskan kira-kira 3% daripada semua orang dengan sebarang jenis amblyopia. Biasanya SDA didiagnosis setelah ibu bapa memerhatikan keputihan pada anak mata atau kelopak mata yang kuyu sebelum ulang tahun pertama bayi. SDA sering didiagnosis setelah penyebabnya dirawat dan pembetulan pembiasan (misalnya, memakai cermin mata) telah diberikan.

Tujuan rawatan SDA adalah untuk meningkatkan penglihatan pada mata yang terjejas dan memberikan stereopsis, iaitu penglihatan 'tiga dimensi' dan persepsi kedalaman. Rawatan boleh berlangsung selama beberapa bulan untuk memastikan bahawa mata yang terjejas memperoleh penglihatan sebanyak mungkin. Juga, penyertaan dalam sukan dan pekerjaan masa depan mungkin dipengaruhi oleh penglihatan yang lemah dalam satu mata atau kehilangan penglihatan tiga dimensi. Rawatan yang biasa dilakukan adalah menghalang atau menutup mata yang tidak terjejas, sering dilakukan dengan tampalan pelekat, untuk memaksa mata amblyopik supaya digunakan. Oleh kerana anak-anak mendapati penghalang membingungkan atau tidak selesa, terapi penghalang mungkin sukar dilaksanakan oleh ibu bapa mereka.

Apakah hasil-hasil utama ulasan ini?
Kami tidak menemui kajian terkawal secara rawak yang menilai keberkesanan terapi penghalang untuk SDA. Oleh itu, kajian penyelidikan SDA yang dirancang dengan baik adalah diperlukan sebelum kami mempunyai maklumat yang kami perlukan untuk membuat keputusan tentang rawatan.

Adakah ulasan ini terkini?
Penulis ulasan ini telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Disember 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi Mara). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information