Penggunaan peranti intrauterus pelepasan levonorgestrel (LNG-IUD) untuk mengurangkan kesakitan pada wanita yang telah menjalani pembedahan untuk endometriosis

Apakah endometriosis?

Endometriosis ialah sindrom kesakitan kronik yang dikaitkan dengan kehadiran tisu endometrium (seperti rahim) di luar rahim, biasanya di pelvis, yang boleh menyebabkan ketidaksuburan dan sakit pelvis (sakit di bawah pusat).

Bagaimana endometriosis dirawat?

Endometriosis biasanya dirawat dengan ubat hormon, pembedahan, atau gabungan kedua-duanya. Levonorgestrel progestogen adalah salah satu ubat hormon yang dipercayai menghentikan pertumbuhan tisu endometrium di luar rahim.

Apakah tujuan ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk menilai sama ada penggunaan LNG-IUD berfaedah untuk merawat simptom menyakitkan yang berkaitan dan meningkatkan kualiti hidup dan kepuasan pesakit pada wanita yang baru menjalani pembedahan untuk endometriosis.

Apa yang didapati oleh ulasan ini?

Pada peringkat ini, tiada bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan LNG-IUD selepas pembedahan untuk mengurangkan kesakitan yang disebabkan oleh endometriosis. Walaupun terdapat beberapa bukti manfaat dalam mengurangkan tempoh yang menyakitkan dan meningkatkan kualiti hidup dan kepuasan apabila menggunakan LNG-IUD selepas pembedahan, kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah, disebabkan bilangan kajian dan peserta kajian yang kecil, serta kelemahan dalam reka bentuk kajian. Ini menunjukkan bahawa kajian lanjut diperlukan sebelum cadangan boleh dibuat untuk penggunaannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information