Saringan kanak-kanak sekolah dan remaja untuk penglihatan terkurang yang disebabkan oleh keperluan cermin mata

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika saringan penglihatan bagi kanak-kanak sekolah dan remaja mengurangkan bilangan kanak-kanak yang memerlukan cermin mata tetapi tidak mempunyai cermin mata atau memakai preskripsi yang salah.

Mesej-mesej utama
Saringan penglihatan dan penyediaan cermin mata percuma memperbaikik bilangan kanak-kanak memakai cermin mata yang mereka perlukan. Di persekitaran berpendapatan rendah, cermin mata siap pakai boleh memberi alternatif yang berguna kepada cermin mata tempahan khas yang mahal.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Di seluruh dunia, keperluan cermin mata yang membetulkan adalah punca utama penglihatan terkurang dalam kalangan kanak-kanak; rabun jauh (tidak dapat melihat objek jarak jauh dengan jelas) telah menjadi masalah mata yang paling lazim. Penglihatan terkurang boleh mempengaruhi prestasi akademik, oleh itu pilihan kerjaya dan status sosio-ekonomi dalam kehidupan dewasa. Ia juga boleh dikaitkan dengan gejala lain seperti sakit kepala. Program saringan penglihatan direka untuk mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan cermin mata telah diperkenalkan di sekolah-sekolah. Program sedemikian memperbaiki akses kepada penjagaan kesihatan untuk kanak-kanak yang tidak memilikinya, tetapi nilai program saringan boleh dibahaskan. Oleh itu, ulasan ini direka untuk mengumpul dan menilai sebarang bukti mengenai cara program sedemikian berfungsi.

Apakah keputusan utama ulasan?
Penulis Ulasan Cochrane mendapati tujuh kajian yang relevan. Kajian-kajian ini menguji cara memperbaiki penerimaan preskripsi cermin mata yang diberikan sebagai sebahagian daripada program saringan. Lima kajian adalah dari China, satu dari India dan satu dari Tanzania. Kajian-kajian ini membandingkan: saringan penglihatan dengan cermin mata percuma dengan saringan penglihatan sahaja; saringan penglihatan dengan pendidikan dengan saringan penglihatan sahaja; dan saringan penglihatan dan cermin mata siap pakai dengan saringan penglihatan dan cermin mata tempahan khas.

Ulasan ini menunjukkan bahawa:

• Tiada kajian yang membandingkan saringan penglihatan dengan tanpa saringan penglihatan (jurang bukti).
• Saringan penglihatan dengan penyediaan cermin mata percuma menghasilkan lebih ramai kanak-kanak memakai cermin selepas saringan berbanding memberi preskripsi kepada kanak-kanak sendiri (bukti kepastian tinggi). Kanak-kanak dalam kumpulan cermin mata percuma mempunyai pencapaian pendidikan yang lebih baik (bukti kepastian rendah).
• Saringan penglihatan dengan pendidikan kesihatan yang direka untuk meningkatkan penerimaan cermin mata tidak dilihat memperbaiki bilangan kanak-kanak yang memakai cermin selepas saringan berbanding dengan tiada pendidikan (bukti kepastian sederhana).
• Cermin mata pakai siap dan tempahan khas dilihat memberi hasil visual yang serupa dan pemakaian cermin mata yang sama (bukti kepastian sederhana hingga tinggi).

Adakah ulasan ini terkini?
Penulis Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 3 Mei 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipa). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information