Krioterapi utama untuk kanser prostat tempatan atau lanjutan tempatan

Soalan ulasan

Bagaimanakah pembekuan kelenjar prostat (krioterapi) berbanding dengan rawatan lain pada lelaki dengan kanser prostat yang tidak pernah dirawat sebelum ini?

Latar belakang

Kanser prostat biasanya dirawat dengan pembedahan atau radiasi jika ia belum merebak ke organ lain. Rawatan-rawatan ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Pembekuan prostat merupakan cara lain untuk merawat kanser prostat. Ini boleh dilakukan dengan membekukan keseluruhan prostat (krioterapi keseluruhan kelenjar) atau hanya bahagian prostat di mana kanser utama berada (krioterapi fokal). Kami tidak memahami dengan baik bagaimana pembekuan prostat berbanding dengan rawatan lain.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari penulisan perubatan untuk mendapatkan bukti daripada kajian sehingga 6 Mac 2018. Kami menjumpai dua kajian rawak yang membandingkan pembekuan seluruh prostat dengan rawatan radiasi. Ini melibatkan perawakan 307 lelaki dengan kanser prostat (krioterapi 154 lelaki, radiasi 153 lelaki). Purata umur mereka sekitar 70 tahun. Kajian ini mengikuti lelaki selama lapan hingga sembilan tahun selepas rawatan. Kami tidak menjumpai sebarang kajian yang membandingkan pembekuan prostat dengan pembedahan. Selain itu, kami tidak menemui kajian rawak yang membandingkan pembekuan bahagian prostat (krioterapi fokal) kepada radiasi, pembedahan atau tanpa rawatan.

Keputusan utama

Kami tidak pasti tentang kesan pembekuan keseluruhan prostat berbanding rawatan radiasi terhadap masa kematian akibat kanser prostat, kualiti hidup pada fungsi kencing, usus, dan seksual serta tindak balas serius rawatan yang tidak diingini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk semua hasil di mana ia bermaksud bahawa kesan sebenar krioterapi keseluruhan kelenjar mungkin berbeza banyak daripada penemuan dalam ulasan ini. Penyelidikan lanjutan berkemungkinan besar akan mengubah penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information