Jadual dos yang berbeza untuk mengurangkan kerosakan jantung penghidap kanser yang menerima kemoterapi anthracycline

Soalan ulasan
Kami mengulas bukti jadual dos anthracycline yang berlainan sehingga menyebabkan kerosakan pada jantung pada orang dengan kanser dari semua peringkat umur yang menerima kemoterapi anthracycline. Kami juga melihat tindak balas tumor, kelangsungan hidup peserta, kesan buruk selain kerosakan pada jantung, dan kualiti hidup.

Latar belakang
Anthracycline adalah salah satu rawatan yang paling berkesan untuk pelbagai jenis kanser. Malangnya, ada risiko kerosakan jantung bergantung pada jumlah dos yang pesakit diterima. Dalam usaha untuk mencegah kerosakan jantung, jadual dos anthracycline yang berlainan seperti jangka masa infusi yang berbeza atau dos puncak individu yang berbeza (dos maksimum yang diterima dalam satu minggu) digunakan.

Ciri-ciri kajian
Bukti ada terkini sehingga Disember 2015.

Kami menemui 11 kajian. 7 menilai jangka masa infusi yang berbeza (803 peserta), dan 4 menilai dos puncak yang berbeza (5280 peserta). Peserta menghidap pelbagai jenis kanser.

Keputusan utama
Untuk penggunaan jangka masa infusi anthracycline yang berbeza, penulis mendapati bahawa jangka masa infusi anthracycline selama enam jam atau lebih lama dapat mengurangkan risiko kegagalan jantung klinikal (contohnya sesak nafas atau edema kaki), dan nampaknya dapat mengurangkan risiko kegagalan jantung subklinikal (iaitu kerosakan jantung yang didiagnosis misalnya oleh ekokardiografi pada orang tanpa gejala). Hanya sebilangan kecil data yang tersedia untuk kanak-kanak dan individu dengan leukemia, kerana kebanyakan kajian yang menilai jangka masa infusi anthracycline berbeza dilakukan pada orang dewasa dengan tumor pepejal.

Berdasarkan bukti yang ada sekarang, kami tidak dapat memilih dos puncak doxorubicin kurang dari 60 mg/m2 atau 60 mg/m2 atau lebih. Tidak ada bukti berkualiti tinggi yang tersedia untuk penggunaan dos puncak anthracycline lain untuk dapat membuat kesimpulan. Tidak ada data yang tersedia untuk kanak-kanak dan individu dengan leukemia.

Penyelidikan berkualiti tinggi selanjutnya diperlukan.

Kualiti bukti
Semua kajian mempunyai masalah berkaitan dengan kualiti bukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information