Penggunaan antibiotik untuk sakit gigi yang teruk (pulpitis tidak berbalik)

Soalan ulasan
Adakah antibiotik oral berkesan dan selamat untuk merawat sakit pulpitis tidak berbalik (keradangan saraf dalam gigi/kerosakan saraf)?

Latar belakang
Pulpitis tidak berbalik terjadi apabila pulpa gigi (tisu dalam gigi yang mengandungi saraf) telah rosak teruk. Ciri sakit adalah amat sangat (sakit gigi), boleh membuat seseorang terjaga di tengah malam dan ia merupakan sebab yang paling kerap pesakit datang untuk penjagaan pergigian kecemasan. Sebarang gigi boleh terlibat, ia tidak terhad kepada kumpulan umur tertentu, dan ia sering terjadi akibat kerosakan gigi, gigi retak atau trauma.

‘Penjagaan standard’ untuk pulpitis tidak berbalik - pembuangan segera pulpa gigi terbabit - kini diterima secara meluas namun di sesetengah tempat antibiotik terus dipreskrib.

Ciri-ciri kajian
Bukti yang mana ulasan ini didasarkan adalah terkini sehingga 18 Februari 2019. Satu kajian melibatkan 40 peserta dengan pulpitis tidak berbalik (kerosakan saraf) dimasukkan. Terdapat dua kumpulan seramai 20 orang setiap kumpulan, satu kumpulan dirawat dengan penisilin 500mg, satu kumpulan lagi diberi plasebo (tiada ramuan aktif) setiap enam jam selama tujuh hari. Sebagai tambahan, semua peserta menerima ubat tahan sakit (ibuprofen dan parasetamol (asetaminofen) yang dicampur codeine).

Keputusan utama
Antibiotik tidak mengurangkan sakit gigi secara signifikan akibat pulpitis tidak berbalik. Tambahan juga, tiada perbezaan dalam jumlah ibuprofen atau tablet Tylenol yang diguna dalam kedua-dua kumpulan selama tempoh kajian. Pemberian penisilin tidak mengurangkan secara signifikan persepsi sakit, persepsi perkusi (mengetuk gigi) atau kuantiti ubat penahan sakit yang mereka perlukan apabila dilanda pulpitis tidak berbalik. Tiada laporan tindakbalas atau kejadian buruk.

Kepastian bukti
Ini hanyalah satu kajian tunggal dengan bilangan peserta yang kecil dan kepastian bukti untuk pelbagai hasil dianggap rendah. Sehingga kini, tiada cukup bukti untuk memutuskan sama ada antibiotik dapat membantu keadaan ini. Ulasan ini menekankan perlunya lebih kajian berkualiti tentang penggunaan antibiotik untuk pulpitis tidak berbalik.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save