Intervensi untuk melambatkan progresi mata dekat dalam kalangan kanak-kanak

Nota editorial

Kajian Cochrane ini telah digantikan oleh Intervensi untuk kawalan miopia pada kanak-kanak: ulasan sistematik hidup dan analisis rangkaian meta(CD014758).

 

Apakah matlamat ulasan ini?
Untuk mengetahui jika ada rawatan yang boleh melambatkan progresi mata dekat (miopia) dalam kalangan kanak-kanak. Miopia adalah keadaan penglihatan di mana orang boleh melihat objek yang dekat dengan jelas, tetapi objek lebih jauh kelihatan kabur.

Mesej utama
Ubat titik mata seperti atropin, mungkin melambatkan progresi miopia dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengambil ubat titik mata mungkin mengalami penglihatan dekat yang kabur, sensitiviti kepada cahaya, gatal dan ketidakselesaan. Kanta multifocal, sama ada cermin mata atau kanta lekap, boleh memberi manfaat yang kecil.

Apakah yang kami kaji dalam ulasan ini?
Semasa kanak-kanan dan remaja, bola mata boleh tumbuh terlalu panjang dan boleh menyebabkan miopia. Rawatan boleh melambatkan pertumbuhan mata, dengan itu melambatkan progresi miopia.

Penyelidik Cochrane menilai kepastian bukti setiap penemuan ulasan dengan meneliti masalah seperti cara kajian dijalankan, kemasukan kajian-kajian yang sangat kecil, dan penemuan yang tidak konsisten merentasi kajian-kajian. Mereka juga mencari faktor-faktor yang boleh membuat bukti lebih pasti, termasuk kesan-kesan yang sangat besar. Mereka menggred setiap penemuan sebagai kepastian sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penyelidik Cochrane mendapati 41 kajian tentang rawatan-rawatan untuk melambatkan progresi miopia. Kajian-kajian tersebut melibatkan sejumlah 6772 kanak-kanak. Ulasan ini mendapati rawatan-rawatan berikut mungkin melambatkan progresi miopia, berbanding memakai cermin mata biasa.

• Ubat titik mata, khususnya ubat antimuskarinik seperti atropin, gel pirenzepine, dan cyclopentolate (bukti kepastian sederhana).

• Kanta multifokal (samada bifokal atau lensa tambahan progresif) (bukti kepastian sederhana).

• Kanta lekap lembut bifolal (bukti kepastian rendah).

• Kanta lekap orthokeratology (bukti kepastian sederhana).

• Gabungan ubat titik mata dan cermin mata multifokal (bukti kepastian sederhana).

Ulasan ini mendapati rawatan-rawatan berikut mungkin mempunyai kesan kecil, atau tiada kesan terhadap progresi miopia.

• Kanta lekap lembut aberasi sfera (bukti kepastian rendah).

• Antagonis sistematik adenosin (bukti kepastian sederhana).

Kanak-kanak yang memakai cermin mata yang kurang tepat mungkin meningkatkan progresi miopia berbanding kanak-kanak yang memakai cermin mata yang tepat (bukti kepastian rendah ). Hanya terdapat bukti kepastian sangat rendah tentang kanta lekap tegar telap gas.

Ubat titik mata antimuskarinik boleh menyebabkan penglihatan kabur, sensitiviti kepada cahaya, ketidakselesaan dan gatal, dan residu ubat di kelopak mata atau bulu mata. Sesetengah kanak-kanak boleh membentuk nodul atau bonggol di bawah kelopak mata. Cermin mata dan kanta lekap, jika diguna dengan betul, adalah selamat dan berkesan.

Adakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane mengulas kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Februari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information