Melegakan kesakitan yang disebabkan oleh kekejangan atau pengecutan rahim penglibatan selepas kelahiran

Ulasan yang dikemas kini ini menyiasat keberkesanan dan keselamatan penahan sakit ubat dan bukan ubat pada wanita yang mengalami kesakitan pasca-kelahiran selepas kelahiran faraj. Pemberian ejen untuk menghilangkan rasa sakit dibandingkan dengan plasebo yang tidak aktif, tanpa rawatan atau dengan jenis agen yang berbeza dalam kajian rawak terkawal.

Apakah isunya?

Wanita mungkin mengalami kesakitan dan rasa tidak selesa selepas kelahiran bayi mereka kerana rahim mengecut dan kembali ke ukuran normal sebelum kehamilan. Kesakitan ini biasanya berlangsung selama dua hingga tiga hari selepas kelahiran. Wanita yang sebelumnya pernah mempunyai bayi lebih cenderung untuk mengalami kesakitan selepas bersalin. Penyusuan susu ibu merangsang rahim untuk mengecut dan meningkatkan keparahan kesakitan.

Jenis penahan sakit yang digunakan untuk merawat kesakitan termasuk paracetamol, ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) ibuprofen dan naproxen, opioid termasuk codeine dan kaedah bukan ubatan seperti penyediaan herba dan rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS).

Kenapa ini penting?

Pengurusan kesakitan selepas kelahiran adalah penting kerana kesakitan dapat mempengaruhi seorang ibu dari segi aktiviti normalnya serta ikatan mesra dan penjagaan bayinya. Kesakitan pasca-kelahiran boleh mengganggu penyusuan susu ibu.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti dari kajian rawak terkawal (Oktober 2019) dan mengenal pasti 28 kajian (2749 ibu) yang berada di hospital setelah kelahiran tunggal yang tidak rumit. Sebilangan besar bukti kurang kepastian kerana kajian itu tidak merangkumi jumlah wanita yang mencukupi. Sebilangan besar kajian mengecualikan wanita yang menyusu. Ini menjadikan bukti kurang relevan dengan sekumpulan wanita yang lebih luas. Tidak ada kajian yang melaporkan bukti kesan sampingan terhadap bayi yang baru lahir.

NSAID mungkin lebih baik daripada plasebo (rawatan dummy) dalam memberikan penahan sakit yang mencukupi seperti yang dilaporkan oleh wanita (11 kajian, 946 wanita; bukti kepastian sederhana), dan mereka dapat mengurangkan keperluan untuk menggunakan penahan sakit tambahan (4 kajian, 375 wanita; bukti kepastian rendah). Mungkin terdapat sedikit perbezaan antara NSAID dan plasebo dalam risiko kesan sampingan terhadap ibu (9 kajian, 598 wanita; bukti kepastian rendah).

NSAID mungkin lebih baik daripada opioid dalam memberikan pelegaan sakit yang mencukupi seperti yang dilaporkan oleh wanita (5 kajian, 560 wanita; bukti kepastian sederhana) dan boleh mengurangkan risiko kesan sampingang terhadap ibu (3 kajian, 255 wanita; bukti kepastian rendah). NSAID sedikit sebanyak dapat mengurangkan keperluan untuk penahan sakit tambahan berbanding dengan opioid (2 kajian, 232 wanita; bukti kepastian rendah).

Opioid mungkin lebih baik daripada plasebo untuk melegakan kesakitan mencukupi seperti yang dilaporkan oleh wanita (5 kajian, 299 wanita; bukti kepastian rendah) dan keperluan untuk penahan kesakitan tambahan (3 kajian, 273 wanita; bukti kepastian rendah). Opioid boleh meningkatkan risiko kesan sampingan terhadap ibu berbanding dengan plasebo (3 kajian, 188 wanita; bukti kepastian rendah).

Bukti kepastian yang sangat rendah bermakna kita tidak pasti jika parasetamol lebih baik daripada plasebo untuk melegakan rasa sakit yang mencukupi seperti yang dilaporkan oleh wanita, keperluan untuk analgesia tambahan, atau risiko kesan sampingan ibu (2 kajian, 123 wanita).

Bukti kepastian yang sangat rendah bermaksud kita tidak pasti jika terdapat perbezaan antara parasetamol dan NSAID untuk melegakan rasa sakit yang mencukupi seperti yang dilaporkan oleh wanita, atau risiko kesan sampingan terhadap ibu (2 kajian, 112 wanita).

Bukti kepastian yang sangat rendah bererti kita tidak pasti jika NSAID lebih baik daripada penahan sakit herba untuk melegakan rasa sakit yang mencukupi seperti yang dilaporkan oleh wanita (4 kajian, 394 wanita), keperluan penahan sakit tambahan (1 kajian, 90 wanita) atau risiko kesan sampingan terhadap ibu (1 kajian, 108 wanita).

Bukti kepastian yang sangat rendah bermaksud kita tidak pasti jika ada perbezaan antara TENS dan tiada TENS untuk melegakan rasa sakit yang mencukupi seperti yang dilaporkan oleh wanita (1 kajian, 32 wanita).

Apakah maksudnya?

NSAID mungkin lebih baik daripada plasebo dan mungkin lebih baik daripada opioid dalam melegakan kesakitan pasca-kelahiran selepas kelahiran faraj. Kualiti bukti kurang baik dan kami tidak pasti mengenai keberkesanan bentuk penahan sakit yang lain. Kajian masa depan harus mengambil jumlah wanita yang mencukupi dan memastikan kesesuaian yang lebih besar dengan memasukkan wanita yang menyusui. Penyelidikan lebih lanjut juga dapat merangkumi tinjauan wanita setelah melahir untuk menangkap pengalaman mereka tentang sakit pasca-kelahiran selepas kelahiran faraj.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save