Suplemen pelbagai mikronutrien untuk wanita semasa kehamilan

Apakah isunya?

Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, ramai wanita mempunyai diet yang kurang berkualiti dan kekurangan nutrien dan mikronutrien yang diperlukan untuk kesihatan yang baik. Mikronutrien adalah vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan dalam kuantiti yang sangat sedikit tetapi penting untuk fungsi normal, pertumbuhan dan perkembangan. Semasa hamil, wanita-wanita ini sering kekurangan nutrien, kerana perlu juga menyediakan nutrisi untuk bayi, dan ini boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan bayi mereka.

Mengapakah ini penting?

Menggabungkan pelbagai mikronutrien ke dalam satu suplemen telah dicadangkan sebagai satu cara kos efektif untuk memperolehi pelbagai faedah kepada wanita sepanjang kehamilan. Kekurangan mikronutrien telah diketahui memberi kesan sampingan, dan faedah yang lebih besar boleh dicapai dengan suplemen pelbagai berbanding suplemen nutrisi tunggal. Walau bagaimanapun, kesan sampingan juga boleh membawa kepada kurang penyerapan sebahagian daripada nutrisi tersebut. Dos yang tinggi bagi sesetengah nutrien boleh menyebabkan kemudaratan kepada ibu atau bayi.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami telah menjalankan carian dalam Daftar Kajian Kehamilan dan Kelahiran Cochrane (23 Februari 2018). Kajian sistematik ini melibatkan 21 kajian (142,496 wanita terlibat), tetapi hanya 20 kajian (141,849 wanita terlibat) telah menyumbangkan data. Kajian-kajian tersebut membandingkan wanita hamil yang menambah diet mereka dengan pelbagai mikronutrien (termasuk zat besi dan asid folik) dengan wanita hamil yang menerima zat besi (termasuk atau tanpa asid folik) atau plasebo. Secara keseluruhannya, kami mendapati wanita hamil yang menerima suplemen pelbagai mikronutrien mempunyai kurang bayi yang dilahirkan terlalu kecil (berat kurang daripada 2500 g), kurang bayi yang saiznya lebih kecil daripada biasa untuk umur gestasi mereka, dan kurang kelahiran yang berlaku sebelum minggu 37 kehamilan. Bukti untuk hasil utama berat lahir yang rendah dan saiz kecil untuk umur gestasi masing-masing didapati berkualiti tinggi dan berkualiti sederhana.

Apakah maksudnya?

Penemuan ini, yang telah diperhatikan di tempat lain, boleh menyediakan asas untuk membimbing penggantian suplemen zat besi dan asid folik dengan tambahan pelbagai mikronutrien untuk wanita hamil di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com.

Tools
Information
Share/Save