Suplemen mikronutrien yang pelbagai untuk wanita sepanjang kehamilan

Terjemahan ini tidak kemaskini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan Sistematik ini.

Apakah isunya?

Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, ramai wanita mempunyai diet yang kurang berkualiti dan kekurangan nutrien dan mikronutrien yang diperlukan untuk kesihatan yang baik. Mikronutrien adalah vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan dalam kuantiti yang sangat sedikit tetapi penting untuk fungsi normal, pertumbuhan dan perkembangan. Semasa hamil, wanita-wanita ini sering kekurangan nutrien, tambahan pula dengan perlunya menyediakan nutrisi untuk bayi, ini boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka dan bayi-bayi mereka.

Apakah kepentingan perkara ini?

Menggabungkan pelbagai mikronutrien telah dicadangkan sebagai satu cara yang menjimatkan untuk mencapai pelbagai khasiat kepada wanita sepanjang kehamilan. Kekurangan mikronutrien diketahui akan berinteraksi dan kesan yang lebih besar boleh dicapai dengan pelbagai suplemen berbanding suplemen nutrien tunggal, walaupun interaksi boleh membawa kepada kurangnya serapan sebahagian daripada nutrien. Dos yang tinggi bagi sesetengah nutrien boleh menyebabkan kemudaratan kepada ibu atau bayinya.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami telah menjalankan carian dalam Daftar Kajian Kehamilan dan Kelahiran Cochrane (11 Mac 2015). Kajian sistematik ini memasukkan 19 kajian yang melibatkan 138,538 wanita, tetapi hanya 17 kajian yang melibatkan 137,791 wanita telah menyumbangkan data. Kajian-kajian tersebut membandingkan wanita hamil yang menambah diet mereka dengan pelbagai mikronutrien bersama zat besi dan asid folik dengan wanita hamil yang menerima plasebo atau suplemen zat besi, dengan atau tanpa asid folik. Secara keseluruhan, wanita hamil yang menerima suplemen mikronutrien yang pelbagai kurang mempunyai bayi yang berat lahirnya rendah dan saiz bayi yang lebih kecil daripada umur kandungan berbanding wanita hamil yang menerima hanya zat besi, dengan atau tanpa asid folik. Bukti hasil utama kajian didapati berkualiti tinggi.

Apakah kesimpulannya?

Penemuan ini, dilihat selari dengan beberapa bukti kajian sistematik yang lain, menyediakan asas yang kukuh untuk memberi panduan kepada penggantian zat besi dan asid folik dengan suplemen mikronutrien yang pelbagai untuk wanita hamil di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di mana kekurangan mikronutrien yang pelbagai di kalangan wanita adalah lazim.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (Penang Medical College). Disunting oleh Mohd Boniami Yazid (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com.

Share/Save