Ubatan herba Cina untuk sakit tekak.

Sakit tekak adalah jangkitan saluran pernafasan yang akut serta meluas dan menjejaskan semua peringkat umur. Di China, banyak ubatan herba Cina digunakan untuk merawat penyakit ini. Disebabkan kebanyakan penyelidikan klinikal tentang perubatan tradisional Cina (TCM) sebagai rawatan untuk sakit tekak gagal memenuhi piawaian dunia dalam pelaporan penyelidikan klinikal, pengarang tidak dapat mencadangkan apa-apa formulasi untuk kegunaan klinikal dalam versi yang diterbitkan sebelumnya.

Dalam ulasan ini yang dikemaskini, kami memilih 12 kajian (termasuk lima kajian baru) yang melibatkan 1954 orang peserta. Enam ubat-ubatan herba Cina boleh mengurangkan gejala dan meningkatkan kadar pemulihan. Dua kajian berasingan melaporkan satu kes cirit-birit dan satu kes loya ringan; dua ujian melaporkan tiada kesan sampingan dalam kumpulan rawatan; dan kajian lain tidak melaporkan sebarang kesan sampingan. Kami telah mengenal pasti sepuluh kajian yang mempunyai kualiti kaedah yang lemah dan hanya dua kajian mempunyai kualiti kaedah yang sederhana. Ubatan herba Cina boleh menjadi pilihan rawatan untuk sakit tekak, tetapi kami tidak boleh mencadangkan apa-apa persediaan atau formulasi tertentu kerana kami tidak menjumpai apa-apa kajian yang menyediakan bukti kukuh untuk menyokong secara muktamad atau menolak penggunaan ubatan herba tradisional Cina dalam rawatan sakit tekak.
Peningkatan kualiti penyelidikan herba Cina untuk sakit tekak adalah penting, dan bukti yang lebih kukuh daripada ujian rawak terkawal (RCT) dan berkualiti tinggi diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information