Ejen perangsang eritropoiesis lewat untuk mencegah pemindahan sel darah merah dalam kalangan bayi lahir pramasa atau berat lahir rendah

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang keberkesanan dan keselamatan permulaan rawatan ejen perangsang eritropoiesis lewat antara lapan dan 28 hari selepas lahir, untuk mengurangkan penggunaan pemindahan sel darah merah (RBC) dalam kalangan bayi lahir pramasa atau berat lahir rendah.

Latar belakang

Peratusan sel darah merah yang beredar (hematokrit) jatuh selepas lahir dalam kalangan semua bayi. Ia adalah benarr terutamanya dalam kalangan bayi lahir pramasa kerana respon buruk kepada anemia dan amaun darah yang diambil untuk ujian yang diperlukan. Paras eritropoietin (EPO) plasma yang rendah, satu bahan dalam darah yang merangsang penghasilan sel darah merah dalam kalangan bayi lahir pramasa memberi alasan untuk penggunaan ejen perangsang eritropoiesis (EPO dan darbepoetin) untuk mencegah atau merawat anemia.

Tarikh carian

Bukti-bukti adalah terkini sehingga 5 Jun 2018.

Ciri-ciri kajian

Sehingga kini, 1651 bayi (antara umur lapan dan 28 hari) yang lahir pramas telah didaftarkan dalam 31 kajian pemberian EPO lewat untuk mengurangkan penggunaan pemindahan darah merah dan untuk mencegah pendedahan penderma.

Tiada kajian yang menggunakan darbepoetin.

Sumber pembiayaan kajian

Kami tidak menerima sebarang pembiayaan untuk ulasan ini dan kami tidak mempunyai konflik kepentingan untuk diisytiharkan.

Keputusan utama

Risiko menerima pemindahan darah merah berkurangan berikutan permulaan rawatan EPO. Walau bagaimanapun, manfaat keseluruhan EPO dikurangkan kerana kebanyakan bayi ini telah terdedah kepada darah penderma sebelum masuk ke dalam kajian. Rawatan EPO lewat tidak mempunyai sebarang kesan penting ke atas kematian atau komplikasi lazim kelahiran pramasa, kecuali trend ke arah peningkatan risiko retinopati pramatang. Retinopati pramatang adalah penyakit mata yang mempengaruhi bayi alhir pramasa. Ia disebabkan oleh pertumbuhan saluran darah retina yang tidak teratur, yang mungkin mengakibatkan parut dan retina terpisah. Retinopati pramatang boleh jadi ringan dan boleh diselesaikan secara spontan, tetapi ia boleh menyebabkan kebutaan dalam kes-kes yang serius.

Kualiti bukti

Kualiti kajian berbeza-beza dan maklumat penting tentang penjanaan urutan rawak dan sama ada peruntukan itu disembunyikan atau tidak sering tidak dilaporkan. Saiz sampel adalah kecil dan hasil jangka panjang (18 hingga 24 bulan umur yang diperbetulkan) tidak dilaporkan. Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk hasil "penggunaan satu atau lebih transfusi sel darah merah," "retinopati pramatang (semua peringkat atau tahap tidak dilaporkan)" dan "retinopati pramatang (tahap ≥ 3)". Bagi hasil enterokolitis nekrosis dan "mortaliti", kualiti bukti adalah sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save