Agen perangsang-eritropoiesis awal dalam bayi pramatang atau berat lahir rendah

Soalan-soalan ulasan Adakah inisiasi awal eritropoietin atau darbepoetin (dimulakan sebelum lapan hari selepas lahir) berkesan dan selamat dalam mengurangkan transfusi sel darah merah dalam kalangan bayi pramatang dan/atau bayi berat lahir rendah? Adakah inisiasi awal eritropoietin atau darbepoetin dapat berfungsi sebagai pelindung saraf? Adakah agen ini dapat melindungi terhadap enterokolitis nekrosis?

Latar belakang: Dalam bayi yang baru lahir, bilangan sel darah merah dalam peredaran darah adalah berkurangan selepas kelahiran. Dalam bayi yang lahir pramatang, penurunan ini menjadi lebih teruk dengan pengeluaran darah yang kerap, yang mungkin memerlukan pemantauan keadaan klinikal bayi. Oleh itu, bayi yang lahir pramatang mungkin memerlukan transfusi sel darah merah. Tahap rendah erythropoietin (EPO), satu bahan dalam darah yang merangsang penghasilan sel darah merah dalam bayi pramatang, memberikan rasional bagi penggunaan EPO untuk mencegah atau merawat anemia. EPO boleh diberi ' awal ' (sebelum bayi mencapai lapan hari umur) untuk mencegah atau mengurangkan penggunaan transfusi sel darah merah. Peningkatan bukti menunjukkan bahawa EPO boleh melindungi daripada kerosakan neurologi dan kerosakan kepada usus.

Ciri-ciri kajian: Kami mengenal pasti 34 kajian yang menggunakan pendekatan ini dan melibatkan sejumlah 3643 bayi yang dilahirkan pramatang. Kajian dengan pelbagai kualiti telah dijalankan di banyak negara yang berbeza.

Keputusan-keputusan utama: Rawatan EPO awal mengurangkan jumlah transfusi sel darah merah dan pendedahan penderma berikutan penggunaannya. Namun, manfaat keseluruhan EPO mungkin tidak penting secara klinikal, kerana ramai bayi ini telah terdedah kepada transfusi sel darah merah sebelum kemasukan dalam kajian. Rawatan awal dengan EPO tidak mengubah risiko kematian atau retinopati pramatang dan boleh mengurangkan risiko kerosakan neurologi dan kerosakan kepada usus. Ia juga boleh meningkatkan hasil jangka panjang.

Kualiti bukti: Menurut GRADE, kualiti hasil utama adalah berkisar dari tinggi ke rendah.

Kesimpulan: Berdasarkan penemuan kami, kami kini tidak mengesyorkan rutin penggunaan awal erythropoietin dalam bayi pramatang. Kajian yang berterusan mungkin memberi maklumat tentang kemungkinan bahawa erythropoietin boleh mengurangkan risiko kesan buruk terhadap hasil perkembangan neuro dan enterokolitis nekrosis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan,UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information