Tai Chi untuk orang dengan artritis reumatoid

Para penyelidik Cochrane mengulas tentang kesan Tai Chi bagi orang dengan artritis reumatoid (RA). Carian literatur sehingga September 2018 mendapati tujuh kajian dengan 345 orang, berumur di antara 16 hingga 80 tahun, di China, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat. Sesetengah menghadiri kelas di hospital, dalam julat 8 hingga 12 minggu; yang lain pula mengambil bahagian dalam program Tai Chi pandu diri.

Apakah artritis reumatoid?

Artritis reumatoid adalah penyakit di mana sistem imun badan menyerang tisu yang sihat, menyebabkan kemerahan, kesakitan, bengkak, dan haba di sekeliling sendi, terutama di tangan dan kaki. Buat masa ini, tiada ubat untuk artritis reumatoid, oleh itu matlamat rawatan adalah melegakan sakit dan kaku, dan memperbaiki keupayaan untuk bergerak.

Apa itu Tai Chi?

Tai Chi menggabungkan pernafasan dalam dan relaksasi dengan pergerakan yang perlahan dan lembut. Dalam kalangan orang yang lebih tua, Tai Chi menunjukkan pengurangan stres, peningkatan kekuatan otot bahagian bawah badan, dan memperbaiki imbangan, postur dan keupayaan untuk bergerak. Tidak diketahui sama ada Tai Chi boleh memberi manfaat yang sama untuk orang dengan artritis reumatoid.

Apa yang berlaku kepada orang dengan artritis reumatoid yang mengamal Tai Chi?

Sakit (diukur pada skala analog visual (VAS) pada 12 minggu)

- Orang yang melakukan Tai Chi menilai sakit mereka 2.15 mata lebih rendah (lebih baik) pada skala 0 hingga 10, berbanding perubahan dalam kumpulan kawalan (22% pembaikan mutlak). Kualiti bukti adalah sangat rendah, kerana bilangan peserta yang rendah dan kebimbangan tentang reka bentuk kajian (2 kajian, 81 peserta).

- Orang yang tidak melakukan Tai Chi melaporkan perubahan min sakit dalam julat 0.5 lebih rendah hingga 1.6 mata lebih tinggi.

Aktiviti penyakit (diukur dengan Skala Aktiviti Hilang Upaya (DAS-28-ESR) pada 12 minggu)

- Orang yang melakukan Tai Chi menilai aktiviti penyakit mereka 0.4 mata lebih rendah (lebih baik) pada skala 0 hingga 10, berbanding kumpulan kawalan (4% pembaikan mutlak). Kualiti bukti adalah sangat rendah, kerana kebimbangan reka bentuk kajian dan bilangan keciciran yang tinggi (1 kajian, 43 peserta).

- Orang yang tidak melakukan Tai Chi tidak melaporkan perubahan dalam aktiviti penyakit.

Fungsi (diukur oleh Soal selidik Penilaian Kesihatan (HAQ) pada 12 minggu)

- Orang yang melakukan Tai Chi menilai fungsi mereka 0.33 mata lebih rendah (lebih baik) pada skala 0 hingga 3, berbanding kumpulan kawalan (11% pembaikan mutlak). Kualiti bukti adalah sangat rendah, kerana kebimbangan tentangg reka bentuk kajian dan bilangan keciciran yang tinggi (2 kajian, 63 peserta).

- Orang yang tidak melakukan Tai Chi melaporkan perubahan min dalam fungsi berjulat 0.1 lebih tinggi.

Keciciran keseluruhan

- Kurang 17/100 orang menarik diri daripada kumpulan Tai Chi pada 12 minggu (17% pembaikan mutlak). Kualiti bukti adalah sangat rendah, kerana bilangan peserta yang rendah dan kebimbangan tentang reka bentuk kajian (7 kajian, 289 peserta).

Kami mendapati tiada kajian khusus yang melihat progresi radiografik, peristiwa buruk jangka pendek atau jangka panjang, walaupun dua kajian menjelaskan sakit sendi dan otot dan kekejangan di dalam teks laporan.

Apakah kesimpulannya?

Kami tidak pasti sama ada Tai Chi memperbaiki sakit, aktiviti penyakit, atau fungsi dalam kalangan orang dengan RA. Adalah tidak jelas juga berapa banyak, berapa keamatan dan untuk berapa lama Tai Chi perlu diamal untuk melihat manfaatnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi loketimkhaw@imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save