Aspirin untuk wanita yang menjalani teknologi reproduktif bantuan (ART).

Soalan ulasan
Penyelidik Cochrane menyemak bukti tentang keberkesanan dan keselamatan aspirin yang digunakan bertujuan meningkatkan peluang kelahiran hidup dalam kalangan wanita yang menjalani teknologi reproduktif bantuan (ART).

Latar belakang
Aspirin lazimnya digunakan untuk meningkatkan peluang kelahiran hidup dalam kalangan wanita yang menjalani ART. Walau bagaimanapun, terdapat bukti yang bercanggah tentang keberkesanan rawatan ini dan masa yang sesuai untuk memulakan rawatan dan tempoh rawatan. Walaupun aspirin secara fisiologi memberikan kesan yang bermanfaat dalam beberapa aspek yang diperlukan untuk kehamilan yang berjaya, pengambilan aspirin juga telah dikaitkan dengan keguguran dan pendarahan faraj. Oleh itu, adalah penting untuk menilai bukti semasa tentang keberkesanan rawatan ini.

Ciri-ciri kajian
Kami menemui 13 kajian rawak terkawal dengan kumpulan selari, yang membandingkan aspirin dengan plasebo atau dengan tanpa rawatan dalam sejumlah 2653 wanita yang menjalani ART. Kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat dan beberapa negara di Eropah dan Asia. Salah satu kajian telah dibiayai sebahagiannya oleh syarikat farmaseutikal yang berkait dengan intervensi. Dalam kebanyakan kajian, kumpulan adalah setanding dan purata umur peserta dalam kedua-dua kumpulan adalah 32 tahun. Dos intervensi yang seragam telah diberikan dalam kebanyakan kajian dan kebanyakannya melaporkan masa yang serupa untuk permulaan pengambilan aspirin. Tempoh kajian berbeza-beza merentasi kajian, tetapi ia memadai untuk memperoleh data tentang hasil laporan sebagaimana yang diselidiki oleh setiap kumpulan masing-masing. Bukti adalah terkini setakat 9 Mei 2016.

Keputusan utama
Tiada bukti terdapatnya perbezaan antara kumpulan dalam kadar kelahiran hidup, kehamilan klinikal, kehamilan ektopik, kehamilan berganda, keguguran dan pendarahan faraj. Bilangan kajian adalah terhad dan kualiti bukti merangkumi dari sangat rendah hingga sederhana, manakala data mengenai kadar komplikasi, sama ada semasa prosedur IVF/ICSI atau semasa kehamilan dan kelahiran, adalah terhad atau hilang. Dalam kemas kini kedua ini, kami tidak dapat menambah data baru daripada kajian tambahan, kerana kami tidak menemui kajian rawak terkawal baru yang melaporkan tentang hasil keputusan ini dalam perbandingan yang ditetapkan sebelumnya. Berdasarkan bukti yang ada, kami mencapai kesimpulan yang sama seperti versi awal ulasan: tiada satu hasil keputusan pun yang menunjukkan manfaat dengan penggunaan aspirin. Buat masa ini, tiada bukti yang menyokong penggunaan rawatan aspirin untuk meningkatkan kadar kehamilan bagi populasi am IVF.

Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sederhana untuk kelahiran hidup dan sangat rendah hingga sederhana untuk hasil keputusan lain. Limitasi utama bagi bukti adalah pelaporan yang lemah mengenai kaedah kajian, bias penerbitan dan kekurangan kajian yang menyelidik hasil yang diinginkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information