Mencegah penyakit kriptokokus dalam kalangan orang HIV-positif

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochcrane ini adalah untuk mengetahui jika mengambil secara regular ubat antikulat, seperti fluzonazole, mencegah orang HIV-positif yang mempunyai kiraan rendah kluster diferensiasi 4 (CD4) sel daripada mendapat penyakit kriptokokus, dan apakah potensi komplikasi. Para penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui sembilan kajian.

Mesej utama

Kami mendapati mengambil ubatan antikulat secara regular mencegah orang HIV-positif yang mempunyai kiraan CD4 rendah daripada mendapat penyakit kriptokokusl. Kami turut mendapati bahawa profilaksis primer mungkin mengurangkan bilangan orang mati akibat penyakit kriptokokus secara spesifik. Walau bagaimanapun, ia mungkin tidak mengurangkan bilangan orang yang mati secara keseluruhan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Penyakit kriptokokus adalah salah satu penyebab utama kematian orang HIV-positif yang mempunyai kiraan CD4 rendah. Strategi yang disyorkan terkini di kebanyakan negara untuk mencegah orang daripada mendapat penyakit kriptokokus adalah saringan pesakit yang layak dengan ujian darah yang dapat mengesan tanda awal penyakit. Kami melihat kajian-kajian yang mengkaji sama ada mengambil profilaksis antikulat mengelak orang daripada mati atau mendapat penyakit kriptokokus. Kami juga melihat kesan sampingan ubatan antikulat dan sama ada ia menyebabkan rintangan kepada ubatan antikulat dalam jangkitan kulat lain, seperti jangkitan kandida.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 9 kajian yang melibatkan 5426 peserta. Kajian tersebut dijalankan di Australia, Kanada, Afrika Selatan, UK, AS, Thailand, dan sub-Saharan Afrika. Tujuh kajian dijalankan sebelum wujudnya terapi antiretroviral moden. Peserta dalam dua kajian besar menerima regimen rawatan HIV moden.

Kami mendapati profilaksis antikulat mungkin tiada kesan ke atas kematian secara keseluruhan,walaupun ia mengurangkan risiko mereka dengan kiraan CD4 rendah daripada mendapat penyakit kriptokokus sebanyak 71%. Profilaksis antikulat mungkin juga mengurangkan kematian secara spesifik dari penyakit kriptokokus. Risiko lebih tinggi mungkin wujud untuk saluran faraj dijajah dengan organisme Kandida rintang-fluconazole jika seseorang mengambil profilaksis, walau bagaimanapun, ini mungkin tidak semestinya meningkatkan risiko penyakit klinikal yang tidak respon kepada rawatan. Secara am, terdapat sedikit kesan sampingan mengambil profilaksis antikulat, dan ia bertoleran baik berbanding plasebo.

Adakah ulasan ini terkini?

Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 31 Ogos 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information