Terapi sokongan untuk skizofrenia

Skizofrenia adalah penyakit mental yang serius dengan 'gejala-gejala positif' seperti halusinasi (mendengar suara dan melihat sesuatu) dan delusi (mempunyai kepercayaan aneh). Mereka yang menghidap skizofrenia juga mengalami kecelaruan dan 'gejala-gejala negatif' (seperti keletihan, apati dan kehilangan emosi). Mereka yang menghidap skizofrenia mungkin mengalami kesukaran untuk bersosial dan mendapat pekerjaan. Skizofrenia dianggap sebagai salah satu penyakit yang paling membebankan di dunia. Bagi sesetengah orang ia boleh menjadi keadaan sepanjang hayat. Kebanyakan orang akan diberi ubat antipsikotik untuk membantu melegakan gejala-gejala. Sebagai tambahan mereka boleh juga menerima terapi yang terdapat dalam pelbagai jenis.

Satu terapi yang sering diberi kepada penghidap skizofrenia adalah terapi sokongan di mana setelah seseorang ditetapkan dalam jagaan perkhidmatan kesihatan mental, mereka diberi sokongan umum dan bukannya terapi percakapan khusus seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT). Sebagai contoh, semasa konsultasi dengan profesional kesihatan seringkali masa diberikan untuk mendengar kekhuatiran pesakit, memberi galakan, bahkan mengatur bantuan asas untuk kehidupan harian. Ramai penghidap skizofrenia juga menerima sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan mereka. Terapi sokongan telah diterangkan sebagai rawatan pilihan bagi kebanyakan orang dengan penyakit mental dan merupakan salah satu terapi yang lazim diamalkan dalam perkhidmatan kesihatan mental.

Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk menjawab persoalan tentang apakah sebenarnya terapi sokongan itu. Adalah sukar untuk mencari suatu takrif terapi sokongan yang diterima dengan meluas. Untuk tujuan ulasan ini, terapi sokongan termasuklah sebarang intervensi dari orang perseorangan yang bertujuan untuk mengekalkan keadaan sedia ada seseorang atau membantu kemampuan daya tindak seseorang. Ini termasuk intervensi yang memerlukan ahli terapi yang terlatih seperti psikoterapi sokongan, serta intervensi lain yang tidak memerlukan latihan seperti ‘berkawan’. Terapi sokongan tidak termasuk intervensi yang bertujuan untuk mendidik, melatih atau mengubah daya tindak seseorang.

Matlamat ulasan ini adalah untuk menilai keberkesanan terapi sokongan berbanding terapi khusus lain atau rawatan biasa. Kemas kini ini adalah berdasarkan carian 2012; kini ulasan ini memasukkan 24 kajian rawak melibatkan 2126 orang. Kajian-kajian tersebut membandingkan terapi sokongan dengan penjagaan standard sahaja ataupun dengan pelbagai terapi lain seperti CBT, terapi keluarga dan “psychoeducation”. Para peserta terus menerima ubat antipsikotik mereka dan sebarang rawatan lain yang biasa mereka terima semasa kajian-kajian dijalankan. Secara keseluruhan, kualiti bukti daripada kajian-kajian tersebut adalah sangat rendah. Tidak terdapat cukup maklumat atau data untuk mengenalpasti sebarang perbezaan terapeutik di antara terapi sokongan dan penjagaan standard. Terdapat beberapa hasil termasuk kemasukan ke hospital, kepuasan dengan rawatan dan keadaan mental umum, yang menunjukkan kelebihan terapi-terapi psikologi lain berbanding terapi sokongan. Walau bagaimanapun, dapatan-dapatan tersebut adalah terhad kerana hanya berdasarkan beberapa kajian kecil yang mana kualiti bukti adalah sangat rendah. Terdapat maklumat yang sangat terhad untuk membandingkan terapi sokongan dengan terapi keluarga dan “psychoeducation” kerana kebanyakan kajian dalam ulasan ini tertumpu kepada terapi psikologi lain, seperti CBT. Selain daripada satu kajian yang melaporkan data kematian, tiada maklumat tentang kesan-kesan buruk terapi sokongan. Ringkasnya, tiada banyak perbezaan antara terapi sokongan, rawatan standard dan terapi-terapi lain. Penyelidikan masa hadapan akan mendapat manfaat daripada kajian-kajian lebih besar yang menggunakan terapi sokongan sebagai rawatan utama.

Ben Gray, Penyelidik Kanan Setara, Yayasan McPin http://mcpin.org/

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli, Cyberjaya University College of Medical Sciences. Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi wanrosalinawanrosli@gmail.com. Disunting oleh Noorliza Masura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tools
Information
Share/Save