Penukar haba dan kelembapan berbanding alat pelembap yang dipanaskan untuk ventilasi orang dewasa dan kanak-kanak

Soalan ulasan

Adakah penukar haba dan kelembapan atau alat pelembap yang dipanaskan lebih berkesan dalam mencegah komplikasi seperti penyumbatan saluran udara dan pneumonia dalam kalangan orang dewasa, kanak-kanak atau bayi yang menerima ventilasi mekanikal invasif.

Latar belakang

Apabila ventilasi mekanikal diguna untuk membolehkan orang yang sakit kritikal bernafas dengan berkesan, saluran udara di bahagian atas perlu dilembapkan secara buatan. Penukar haba dan kelembapan dan alat pelembap yang dipanaskan adalah kaedah pelembapan buatan yang lazim digunakan. Kedua-duanya dikaitkan dengan kelebihan dan kekurangan yang khusus; contohnya, penukar haba dan kelembapan dianggap lebih cenderung menyebabkan halangan saluran udara manakala alat pelembap yang dipanaskan dikaitkan dengan peningkatan risiko pneumonia (bengkak (radang) tisu di dalam satu atau kedua-dua paru-paru).

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari kajian-kajian sehingga Mei 2017. Kami memasukkan 34 kajian dalam ulasan ini, dengan 2848 peserta dari 12 negara. Kebanyakkan kajian (27) berlangsung di unit rawatan intensif dan satu dalam unit rawatan intensif neonatal. Baki tujuh kajian telah dilakukan di jabatan operasi. Peserta adalah bayi-bayi dalam tiga kajian dengan orang dewasa (purata usia 40 hingga 69 tahun) dalam bakinya.

Keputusan utama

Tiada perbezaan secara keseluruhan dalam kadar penyumbatan saluran udara, pneumonia atau kematian dalam kalangan orang dewasa yang diventilasi melalui penukar haba dan kelembapan berbanding orang dewasa yang diventilasi melalui alat pelembap yang dipanaskan. Terdapat beberapa bukti kejadian penumonia boleh diturunkan dengan mengguna penukar haba dan kelembapan yang memerangkap kurang kelembapan. Tiada maklumat yang cukup untuk membuat sebarang kesimpulan tentang kaedah-kaedah ini dalam kalangan kanak-kanak atau bayi.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti ini adalah rendah, menjadikannya sukar untuk meyakini penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save