Hernia inguinal adalah kelemahan di dinding rongga abdomen yang cukup besar untuk membolehkan tisu lembut badan atau organ dalaman, terutamanya bahagian usus menonjol keuar. Ia biasanya muncul sebagai satu ketulan dan untuk sesetengah orang, boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan, menghadkan aktiviti harian dan keupayaan untuk bekerja. Jika usus tercekik atau tersekat ia boleh mengancam nyawa. Hernia secara umumnya dibaiki dengan menggunakan jaringan (mesh) sintetik sama ada dengan pembedahan terbuka atau semakin kerap menggunakan prosedur laparoskopi kurang invasif. Teknik-teknik laparoskopi yang paling biasa untuk inguinal hernia adalah pembaikan 'transabdominal preperitoneal (TAPP)' dan pembaikan 'totally extraperitoneal (TEP)' Dalam teknik TAPP, pakar bedah memasuki rongga peritoneal dan meletakkan satu jaringan melalui insisi peritoneal atas tapak hernia yang mungkin. TEP adalah berbeza di mana rongga peritoneal tidak dimasuki dan jaringan digunakan untuk menutup hernia dari luar peritoneum (membran nipis yang meliputi organ-organ dalam abdomen). Pendekatan ini dianggap lebih sukar daripada TAPP tetapi mungkin mempunyai kurang komplikasi. Pembaikan laparoskopi adalah lebih sukar daripada pembaikan terbuka dari segi teknikal.
Penulis ulasan mencari kesusasteraan perubatan dan mendapati satu kajian terkawal di mana 52 orang dewasa terutamanya lelaki diasingkan secara rawak kepada dua teknik laparoskopi yang berbeza, yang dijalankan oleh pakar bedah yang berpengalaman. Kajian melaporkan bahawa tiada perbezaan yang jelas antara TAPP dan TEP apabila mempertimbangkan tempoh pembedahan, haemotoma, tempoh penginapan, masa untuk kembali ke aktiviti biasa atau perulangan hernia dalam susulan hanya tiga bulan. Penulis juga meneliti kajian-kajian prospektif bukan rawak yang melibatkan lebih daripada 500 peserta dan siri-siri kes prospektif besar dengan lebih daripada 1000 peserta untuk komplikasi dan peristiwa buruk. Daripada sembilan kajian, peningkatan kecil dalam bilangan hernia yang muncul rapat dengan tapak asal dan kecederaan kepada organ-organ dalaman adalah jelas dengan TAPP dan penukaran kepada satu lagi jenis pembedahan lebih kerap dengan TEP. Keputusan ini pada amnya konsisten. Kecederaan vaskular dan jangkitan dalam dan jaringan jarang berlaku dan tidak ada perbezaan yang ketara antara kedua-dua teknik.
Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@pmc.edu.my