Sekatan simpatetik anestesia setempat untuk sindrom kesakitan serantau yang kompleks

Latar belakang

Sekatan simpatetik anestesia setempat (LASB) adalah rawatan yang biasa untuk sindrom kesakitan serantau yang kompleks (CRPS). Ia melibatkan menyekat aktiviti saraf simpatetik di sisi tulang belakang. Sistem saraf simpatetik terutamanya mengawal tindakan tidak sedar seperti denyutan jantung, aliran darah, dan perpeluhan. Suntikan ubat anestesia setempat di sekeliling saraf menyekat fungsi saraf buat sementara waktu. Ulasan yang dikemas kini ini bertujuan untuk meringkaskan bukti yang tersedia mengenai sama ada LASB berkesan untuk mengurangkan kesakitan dalam CRPS, seberapa lama sebarang kelegaan kesakitan mungkin bertahan, dan sama ada LASB selamat.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Pada September 2015, pengulas menemui beberapa kajian kecil yang terhad, yang semuanya mempunyai kelemahan reka bentuk. Pengulas tidak menemui bukti bahawa LASB lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan kesakitan, atau ia memberikan kelegaan kesakitan tambahan apabila ditambah kepada rehabilitasi. Walaupun beberapa kajian kecil membandingkan LASB dengan rawatan lain, kebanyakannya tidak mendapati bahawa LASB adalah lebih baik. Satu kajian kecil mendapati bahawa menyuntik saraf simpatetik toraks (belakang atas) dengan anestesia tempatan dan steroid adalah lebih baik daripada menyuntik ubat yang sama hanya di bawah kulit pada satu tahun susulan, tetapi kajian itu mungkin terdedah kepada bias. Hanya enam kajian melaporkan tentang jenis dan jumlah kesan sampingan. Kajian-kajian ini hanya melaporkan kesan sampingan yang ringan, tetapi kerana sesetengah kajian tidak melaporkan maklumat ini, pengulas tidak boleh membuat kesimpulan yang kukuh tentang keselamatan LASB. Bukti tersebut mempunyai kualiti yang sangat rendah.

Secara keseluruhan, bukti adalah terhad, bercanggah dan berkualiti rendah. Sementara pengulas tidak boleh membuat kesimpulan yang kukuh, bukti sedia ada tidak menggalakkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information